Wednesday, 15 July 2009 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM, 15 Julai - Baru-baru ini, satu kajian tahap kepuasan rakyat Selangor terhadap prestasi Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mendapati mereka amat berpuashati malah memberi sokongan yang tinggi kepada pembaharuan dalam pentadbiran kerajaan negeri ini.
Seramai 1,360 responden yang berumur lebih 21 tahun ke atas mengambil bahagian dalam soal selidik tersebut yang dikendalikan oleh organisasi bebas iaitu Merdeka Center.
Video temuramah TVSelangor
Soal selidik yang melibatkan pengundi berdaftar di Selangor itu, dibuat melalui panggilan telefon, berdasarkan kawasan parlimen, kaum dan jantina dari 5 hingga 15 Jun tahun ini.
Kaji selidik ini juga mendapat pembiayaan dari Pejabat Menteri Besar Selangor.
Speaker Dewan Negeri Selangor, Teng Chang Khim berpendapat keputusan soal selidik amat memberangsangkan walaupun ketika Pakatan Rakyat memenangi pilihanraya 8 Mac lalu adalah zaman kegawatan ekonomi dunia namun sokongan rakyat tetap tidak berubah.
“Keputusan ini amat memberangsangkan setelah mengambilkira faktor yang tidak memihak kepada Kerajaan Pakatan Rakyat kerana dalam kegawatan ekonomi kita mengambilalih, dalam keadaan di mana Kerajaan Persekutuan tidak memberi subsidi yang sepatutnya, tidak memberikan peruntukan yang sepatutnya diberikan kepada kerajaan negeri dan memandangkan media utama yang dikawal Barisan Nasional, keputusan ini amat memberangsangkan”, katanya.
Bagaimanapun, Teng akur kepada kelemahan-kelemahan Kerajaan Pakatan Rakyat setelah lebih setahun mentadbir negeri Selangor.
Beliau mendapati sistem yang digunapakai sekarang sudah lama digunapakai oleh Barisan Nasional dan perlu pembaharuan terutamanya dalam mengatasi kerenah birokrasi dan sistem penyampaian kerajaan.
“Kami Pakatan Rakyat juga menyedari kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran kita iaitu khususnya dari segi penyampaian (delivery system) tu, dan juga beberapa masalah pentadbiran yang perlu diperkasakan lagi untuk melicinkan pentadbiran kerajaan, dan juga mengurangkan birokrasi yang terlalu lama wujud dalam sistem pentadbiran kerajaan dan keseluruhannya ini menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat itu menuju ke halatuju yang begitu jelas, yang diterima oleh semua kaum dalam Selangor ini khususnya golongan muda yang menaruh harapan kepada Pakatan Rakyat ini”, jelas Teng lagi.
Sementara itu, ADUN Sri Muda, Suhaimi Shafie pula berpendapat, tindakan segera perlu diambil bagi memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat melalui beberapa cara.
Antaranya ialah mempromosikan program-program “Agenda Merakyatkan Ekonomi” melalui pemasangan papan tanda di setiap kawasan DUN seluruh Selangor.
“Saya mencadangkan oleh kerana kita kerajaan negeri ini kita dinilai oleh rakyat kepada apa yang mereka nampak, bukan kepada apa yang kita buat, jadi saya bersetuju pertamanya di peringkat PBT, di mana pihak berkuasa tempatan langkah pertama untuk menyakinkan rakyat ialah mesti menukar, menurunkan saki baki billboard, giant billboard yang lama, yang kusam, yang hodoh, yang buruk, turunkan segera dan kemudian kita kena gantikan satu billboard yang memasukkan apa agenda merakyatkan ekonomi yang dibuat. Kita kena tulis di dalam giant billboard ini di setiap kawasan DUN maknanya meliputi 56 kawasan DUN mesti ada billboard yang menerangkan tentang hal itu”, katanya.
Selain itu, Suhaimi juga mencadangkan agar PBT sentiasa peka dan bertindak segera terhadap sebarang aduan rakyat bagi memastikan kualiti kehidupan mereka tidak terjejas.
“Saya mintak supaya PBT pantas mengambil aduan-aduan yang diadukan kepada mereka oleh rakyat contohnya sampah pukal, ada kita perasan perhatikan sampah-sampah pukal ini tidak dikutip, oleh kerana ianya berada di bawah pihak JMB ataupun MC yang menguruskan satu-satu bangunan itu. Rakyat tidak melihat itu kegagalan JMB atau MC, apa yang rakyat nampak itu kegagalan pihak berkuasa tempatan”, kata Suhaimi lagi.
Suhaimi juga turut menegur sikap kakitangan kerajaan negeri Selangor yang sering tidak mematuhi waktu rehat terutamanya sarapan pagi yang perlu dihadkan.
“Saya nampak tidak kiralah sama ada di mana-mana agensi kerajaan, pejabat-pejabat kerajaan masa untuk kakitangan minum pagi itu dihadkan, rakyat nampak sejak dari dulu, di mana kalau pergi ke jabatan kerajaan, akan nampak pegawai-pegawai yang mengendalikan kes itu tidak ada di kaunter”, tegas Suhaimi yang mahukan pembaharuan segera. - MOHD SAHRULNIZAM MOHD ZAIN
No comments:
Post a Comment