Wednesday, February 15, 2012

Isu Palestin: Dasar Malaysia berkiblatkan Amerika, Israel


KUALA LUMPUR 15 Feb: Malaysia tidak pernah konsisten memberi sokongan terhadap perjuangan Palestin, sebaliknya dasar luar kerajaan Barisan Nasional berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Nasution.Beliau membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kononnya Malaysia konsisten terhadap perjuangan Palestin dan menggelar Datuk Seri Anwar Ibrahim bersikap talam dua muka dalam isu itu.
Apakah Najib perlu diingatkan bagaimana layanan kerajaan Malaysia terhadap pemimpin negara Palestin yang sah dipilih secara demokrasi pada pilihanraya 25 Jan 2006?” soalnya dalam satu kenyataan media, lewat malam tadi.

Saifuddin mengingatkan pada  Mei 2006, Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM), namun  membelakangkan kehadiran Menteri Luar Palestin yang sah, Dr Mahmoud Al Zahar yang dilantik perdana menteri ketika itu, Ismail Haniyeh.

Sebaliknya,  kerajaan Malaysia mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin sewaktu pimpinan kerajaan Fatah.

Malah Farouk, kata Saifuddin, turut dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.
“Hal ini tidak sukar difahami kerana PM Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas,” ujarnya.

Menurut Saifuddin, hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

“Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya.
Kata Saifuddin, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudian memulau persidangan NAM tersebut.

“Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

“Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’,” jelas beliau.

Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin, yang sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin.

“Insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya.

“Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur,” ujarnya.


Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26607

No comments: