Wednesday, February 22, 2012

Noh Sibuk Isu Pasir Untuk Elak Skandal NFC


Oleh Hafizan Taib
22/02/2012
69 View
Share

SHAH ALAM, 21 FEB : Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya memberi perhatian terharap isu besar seperti skandal Lembu Fidlot NFC yang dipertanggungjawabkan kepadanya daripada memperkatakan mengenai kes pasir di Selangor. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, Noh tidak seharusnya lepas tangan dalam isu itu dan cuba mengalihkan tumpuan rakyat terhadap pecah amanah duit rakyat berjumlah RM250 juta yang didakwa melibatkan seorang menteri.

Menurutnya, keutamaan perlu diberikan kepada kes itu sepertimana arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kepada Noh untuk memantau kes tersebut.

Katanya, pihaknya bersetuju dengan saranan Noh supaya isu kepentingan rakyat dibawa ke "mahkamah rakyat" supaya rakyat boleh membuat penilaian berhubung sesuatu isu dibangkitkan.                                                                                                                                                                                                  
"Apakah Noh masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke 'mahkamah rakyat' seperti diarah Perdana Menteri untuk Noh pantau dalam skandal Lembu Fidlot
 NFC? Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal yang melibatkan RM250 Juta wang rakyat, dilaporkan beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.              
                     
"Jawapan diberi Noh berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah 'saya tidak tahu'. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC? soalnya dalam satu kenyataan media dibuatnya hari ini.

Shuhaimi berkata, tidak cukup dengan itu adakah juga Noh bersedia untuk bersemuka di "mahkamah rakyat" berhubung skandal PKFZ, skandal tanah ADUN Umno dan yang lainnya.

Tidak mahu menyebut mana-mana pemimpin Umno Selangor, beliau berkata, cukuplah sekadar menjelaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN Umno Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkuasa berkaitan perkara itu.

Tambahnya, Noh tidak sepatutnya menyibuk dalam urusan lain yang bukan di bawah tugasnya dan perlu menumpukan sepenuh perhatian terhadap tanggungjawab diberikan kepadanya.

"Isu pasir di Selangor ditangani dengan baik oleh Kerajaan Pakatan Rakyat dalam masa hampir empat tahun dengan angka dan statistik menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

"Malah isu ini sudah lebih 30 tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bahkan juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan Umno dalam isu yang sama di negeri lain?," katanya.

No comments: