Wednesday, February 22, 2012

Shuhaimi Cabar Noh Berdebat Isu Pasir Di Tanjung Karang


Oleh Hafizan Taib
21/02/2012
524 View
Share

SHAH ALAM, 21 FEB : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafie secara terbuka mencabar Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar untuk berdebat demi kepentingan rakyat Selangor berhubung pelbagai isu termasuk pengurusan pasir.

Shuhaimi yang juga Ketua Penerangan PKR Selangor menjelaskan debat dicadangkan itu adalah jalan terbaik bagi rakyat membuat penilaian di "mahkamah rakyat" akan kebenaran dan penyelewengan yang berlaku sebagaimana diinginkan Menteri Pertanian dan Asas Tani itu.

Menurutnya, isu pasir itu sengaja ditimbulkan bagi mengalih tumpuan rakyat berhubung isu pecah amanah wang rakyat yang didakwa melibatkan seorang menteri.

"Maka saya cabar Noh untuk berdebat secara terbuka dalam isu ini jika dia benar ikhlas dan jujur. Noh tentukan masa dan tempat hatta di Tanjung Karang sekalipun saya akan turun untuk berdebat dengan beliau. Biar rakyat Selangor menjadi hakim," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Shuhaimi berkata, dirinya yang dikaitkan dengan isu pasir itu telah disiasat sepenuhnya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak hampir dua tahun lepas dan sebaiknya semua pihak menunggu hasil perbincangan semula jawatankuasa khas SPRM sebelum membuat sebarang rumusan apatah lagi spekulasi liar.

Beliau berkata, Noh seharusnya sedar selama hampir empat tahun pengurusan pasir di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, angka dan statistik telah menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir.

"Pencapaian Kerajaan Pakatan Rakyat mentadbir Selangor adalah jauh lebih baik berbanding pentadbiran cacamarba UMNO Selangor dahulu. Malah banyak berlaku penyelewengan dan penyalahguna kuasa di sepanjang pentadbiran Umno dulu termasuk isu skandal PKFZ, tanah ADUN Umno dan lainnya.

"Maka saya cabar Noh untuk berdebat dan jangan cuba mengalihkan tumpuan rakyat," katanya.

No comments: