Monday, February 20, 2012

NOH OMAR USAH BERPOLITIK MURAHAN, SAHUT CABARAN DEBAT TERBUKA JIKA IKHLAS!

Saya ingin menjawab kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Dato Seri Noh Omar dalam akbar Sinar Harian bertarikh 16 Februari 2012 yang mengatakan ingin mengajak rakyat Selangor untuk perbicaraan terbuka dalam 'mahkamah rakyat' berhubung kononnya ada penyelewengan dalam isu pasir di Selangor.
Sejak awal saya mengatakan isu ini sengaja dibangkitkan bagi mengalihkan tumpuan rakyat pada pecah amanah duit rakyat yang didakwa turut mengaitkan seorang menteri. Saya tegaskan untuk kesekian kalinya, saya sudahpun disiasat sepenuhnya sejak hampir dua tahun lepas dan sebaiknya semua pihak menunggu hasil perbincangan semula jawatankuasa khas SPRM sebelum membuat sebarang rumusan apatah lagi spekulasi liar.
Telahan itu benar kerana sebaik sahaja tuduhan jahat ini dilakukan ia di sambut oleh Noh Omar. Laporan polis dan pada SPRM dibuat walaupun telah diumumkan jawatankuasa akan bersidang pada 23 Februari depan. Jelas 'plot' ini disambung UMNO Selangor semata mata untuk merosakan nama saya dan Pakatan Rakyat.
Saya ingin nyatakan kepada Noh Omar saya setuju untuk beliau mengheret sebarang isu demi kepentingan rakyat ke 'mahkamah rakyat' atau ke ruang 'public opinion' kerana saya percaya sebarang isu yang melibatkan kepentingan rakyat sewajarnya diberi perhatian dan wajar diambil tindakan proaktif. Sebelum saya menjelaskan fakta dan angka kejayaan pengurusan pasir di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, suka untuk saya bertanya;
I) Apakah Noh Omar masih belum menyiapkan kertas laporan untuk dibawa ke 'mahkamah rakyat' yang diarah oleh Perdana Menteri untuk Noh Omar pantau dalam skandal Lembu Fidlot NFC memandangkan beliau merupakan Menteri Pertanian dan Asas Tani? Arahan memantau oleh PM kepada Noh saya lihat seperti 'memberi tugasan menjaga bank kepada penyamun'
2) Apakah Noh bersedia untuk bersemuka di 'Mahkamah Rakyat' berhubung skandal NFC, skandal PKFZ, skandal tanah ADUN UMNO dan lainnya?
Dalam perkembangan terkini yang saya ikuti sewaktu Noh Omar ditanya wartawan berhubung perkembangan skandal Lembu Fidlot NFC yang meilbatkan RM250 Juta wang rakyat, saya melihat beliau terkial-kial untuk menjawab soalan wartawan dalam mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato Seri Nazri Aziz yang mengatakan bahawa terdapat pecah amanah dana rakyat dalam pembelian aset NFC.
Jawapan yang diberi Noh Omar berhubung isu salahguna skandal Lembu Fidlot NFC adalah; 'saya tidak tahu'. Apakah itu jawapan seorang menteri yang ditugaskan oleh Perdana Menteri untuk memantau kegagalan projek Lembu Fidlot NFC?
Inilah penyakit sebenar Noh Omar , selalu ingin menyibuk dalam urusan yang sebenarnya bukan di bawah tugasannya sedangkan apa yang dipertanggungjawabkan kepada beliau dijawab 'tak tahu'.
Apakah Noh Omar tidak sedar selama hampir 4 tahun pengurusan pasir di bawah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor, angka dan statistik telah menunjukkan pencapaian dalam peningkatan royalti pasir kepada kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor adalah jauh lebih baik berbanding pentadbiran cacamarba UMNO Selangor dahulu. Angka dan statistik ini beliau perlu teliti semula sebelum bercakap merapu tidak tentu hala. Janganlah terlalu berpolitik hingga mengelapkan pandangan resional dan bukti berfakta yang tidak dipesongkan. Kelemahan memangnya ada, tetapi merumuskan semuanya negetif adalah tidak adil kerana isu pasir ini sudah lebih 30tahun bermula. Bukan sahaja di Selangor bah juga di Johor, Negeri Sembilan dan Perak. Mana suara pimpinan UMNO dalam isu yang sama di negeri lain?
Saya cabar beliau belaku jujur dan teliti semula kes penyelewengan yang melibatkan kerugian jutaan ringgit kepentingan rakyat dalam skandal PKFZ di Pelabuhan Klang. Mengapa isu yang lebih besar seperti ini yang melibatkan ribuan ekar tanah dipandang sepi oleh beliau? Mana laporan oleh UMNO? Apakah kerana takutkan pemimpin 'taiko' MCA hal ini didiamkan?
Saya juga tidak mahu sebut mana-mana pemimpin UMNO Selangor yang terlibat tapi cukuplah saya nyatakan bahawa PKNS terpaksa menanggung jutaan ringgit kerugian kerana terpaksa membeli tanah milik seorang ADUN UMNO Selangor satu masa dahulu dan sehingga sekarang tiada siasatan pihak berkaitan. Saya yakin seluruh rakyat Selangor tahu mengenai perkara ini.
Kalau Noh Omar mahu mengheret Menteri Besar dalam 'mahkamah terbuka', maka dengan ini saya cabar Noh Omar untuk debat secara terbuka dalam isu yang melibatkan kepentingan rakyat Selangor, termasuk isu pasir semasa zaman UMNO BN memerintah Selangor dahulu. Kita lihat siapa 'penyangak' sebenar! Noh Omar usah bercakap dengan bukti yang dipalsukan dan ugut mengugut untuk dedah penyelewengan. Ayoh! Jika ikhlas, kita debat secara terbuka. Tidak perlu libatkan Menteri Besar dalam cabaran ini. Noh Omar tentukan masa dan tempat, hatta di Tanjong Karang sekalipun saya akan turun untuk berdebat dengan beliau. Biar rakyat Selangor menjadi hakim!
Usah berdolak dalik, jika benar beliau jujur, sambut cabaran debat dengan saya. Beliau Ahli MKT UMNO, saya Ahli MPP Pusat. Saya tunggu kalapangan masa beliau. Jika cabaran ini gagal disambut, bererti beliau Ketua UMNO yang bacul dan hanya seperti seekor 'ayam jantan yang kuat berkokok, tapi ekor bergelumang dengan najis'.

Shuhaimi Hj Shafiei
ADUN SRI MUDA /
Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN

Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: