Monday, February 20, 2012

Polis didakwa sengaja biar provokasi samseng Umno di Parlimen Sembrong


(Sidiqin Omar - Suara Keadilan
KUALA LUMPUR: KEADILAN menuntut jaminan polis bahawa program anjuran Pakatan Rakyat selamat dari sebarang gangguan, kata Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nausution Ismail.

“Kita kenal pasti 50 hingga 100 motosikal melibatkan kumpulan samseng upahan berusia antara 15 hingga 18 tahun. Melalui penduduk tempatan mereka ini samseng Umno.

“Apakah jaminan polis untuk pastikan program politik Anwar Ibrahim dan lain-lain jika polis berpihak seperti ini?” katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini.

Dalam kejadian malam semalam, sekumpulan samseng Umno membaling batu hingga cermin kereta Anwar retak manakala pintu kanan dan kiri kereta kemek akibat ditendang.

Beliau kesal kerana polis tidak mengambil sebarang tindakan walaupun laporan polis sudah dibuat Ketua Cabang KEADILAN Sembrong, Mohd Yusof di balai polis Kluang, pagi tadi.

“Kayu, batu, telur busuk dan mercun bola dibaling melepasi kepala polis,” katanya sambil menyifatkan krebiliti polis sangat memalukan.

Mengikut laporan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Saifuddin berkata, lebih 20 anggota polis bertugas ketika kejadian sekaligus bermakna bilangan anggota tidak berseragam adalah tiga kali ganda.

“Apakah kerana kawasan yang kita masuki itu kawasan Menteri Dalam Negeri, polis membenarkan tindakan ganas semata-mata untuk lindungi kedudukan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hishammuddin Hussein) dan Parlimen Sembrong?

“Apakah ketakutan mereka hilang sokongan sehingga terpaksa bertindak secara ganas terhadap program Pakatan Rakyat?” katanya.

Saifuddin menegaskan, serangan samseng Umno itu tidak menggentarkan mereka, bahkan KEADILAN akan terus menggandakan program penerangan.

“Tindakan ganas tak akan menyekat penerangan kita. Johor negeri paling berpotensi untuk Pakatan Rakyat. Kita tetapkan program gerak tumpu setiap minggu tanpa henti,” katanya

No comments: