Tuesday, June 11, 2013

Dunia Belum Kehabisan "Black Gold" - CEO Petronas




KUALA LUMPUR, 10 Jun — Dunia belum kehabisan minyak dan gas walaupun telah berpuluh tahun aktiviti penggerudian dan pengeluaran minyak dijalankan, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Tan Sri Shamsul Azhar Abbas (gambar).

Jika peserta industri melihat luar Asia dalam skala global, bekalan masih banyak untuk dikeluarkan, dan dunia masih membuat pencarian konvensional, katanya dalam ucapan keadaan industri di Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-17 di sini hari ini.

“Berikutan penemuan baharu, perkembangan teknologi dan pengalaman operasi, secara teknikalnya, sumber yang boleh diperoleh dianggarkan mencukupi untuk selama dua abad pada penggunaan semasa,” katanya.


Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa, rizab dunia telah meningkat sejak 1990 di sebalik pertumbuhan pada penggunaan, dan setakat 2011, anggaran adalah kira-kira 1.5 trilion tong dengan 5.9 trilion tong lagi sumber boleh diperoleh yang masih belum ditemui, tambah beliau.

Shamsul Azhar berkata Iraq mempunyai rizab minyak terbukti kelima terbesar dunia pada 143 bilion tong.

Bagaimanapun, memandangkan tenaga adalah penyumbang utama kemakmuran ekonomi, pergantungan ke atas tenaga jangka pendek meningkatkan risiko gangguan bekalan dan pergolakan harga, kata beliau.

Katanya, pelbagai pelaburan huluan di blok penggerudian dan pembinaan jaringan paip baharu dan terminal regasifikasi menunjukkan strategi keselamatan tenaga.

“Serupa juga dengan PETRONAS, kami memulakan pencarian dan strategi pengeluaran agresif, mencuba pelbagai cara baharu, perairan yang lebih dalam dan lapangan yang lebih kompleks,” katanya sambil menambah untuk memastikan keselamatan tenaga, peserta industri perlu diberikan kebebasan untuk menentukan keberuntungan komersil pasaran sendiri.

“Dengan itu, peserta industri mempunyai fleksibiliti untuk menguruskan risiko mereka sendiri, berusaha untuk memberikan bekalan dan memenuhi permintaan pada harga yang ditentukan pasaran,” kata Shamsul Azhar.

Beliau juga menyeru semua syarikat minyak, penyedia perkhidmatan dan pembuat dasar bekerjasama untuk mencipta penyelesaian yang menggalakkan penggunaan teknologi dan menarik kecemerlangan operasi.

“Industri kita harus berterusan mencari wadah untuk beroperasi dengan bertanggungjawab dan mesra alam,” katanya.

— Bernama

No comments: