Wednesday, June 5, 2013

KEADILAN Menanti Ketua Pembangkang BN Selangor. Siapa ?

PETALING JAYA: Siapa Ketua Pembangkang dari Barisan Nasional (BN) Selangor masih belum diputuskan sehingga hari ini walaupun Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bersidang pada 28 Jun.
Buat kali kedua atau penggal kedua selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU-12) pada 2008, BN Selangor terpaksa menyesuaikan diri sebagai ahli-ahli pembangkang ataupun kini mereka sudah pun dapat menyesuaikan diri bagaimana hendak memainkan peranan sebagai parti pembangkang.
Menurut sumber, lima nama wakil rakyat BN telah disenarai pendek untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang yang perlu diputuskan segera atau paling lewat sebelum 21 Jun ini.
Mereka ialah Datuk Amiruddin Setro (Jeram), Datuk Shamsudin Lias (Sungai Burong), Abdul Shukur Idrus (Kuang), Datuk Johan Abdul Aziz (Semenyih) dan Sulaiman Abdul Razak (Permatang).
Ketua Pembangkang yang baru akan menggantikan Datuk Satim Diman yang tidak bertanding dalam PRU-13 pada 5 Mei lalu.
Sesiapa pun yang dipilih, beliau mestilah seorang yang vokal dan berani menyuarakan masalah dan keperluan rakyat. Pemimpin tersebut perlu memainkan peranan yang proaktif dalam memantau bajet kerana ia adalah wang rakyat.
“Oleh itu, penekanan yang mencukupi mesti dibuat pada aspek ini dalam mesyuarat DUN nanti,” kata sumber tersebut.
Tetapi sesiapa sahaja yang dipilih BN negeri untuk mengisi jawatan itu akan menghadapi tugas berat kerana kejayaan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat mengurus sumber alam dan dana negeri dengan bijaksana dan berhemah.
Memandangkan pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selama ini telus dan bebas rasuah malah pengurusan kewangannya ibarat ‘past with flying colours’ maka agak sukar bagi mana-mana pemimpin BN negeri untuk menimbulkan isu kewangan di DUN nanti.
Malahan Abdul Khalid mengakui bahawa beliau seorang yang ‘kedekut’ dan berjimat cermat dalam perbelanjaan negeri sehingga dikritik oleh ahli partinya sendiri pada Kongres Nasional PKR ke 9 di Petaling Jaya pada 25 Mei lalu.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, Abdul Khalid berjaya menambah rizab dana negeri dari RM400 juta kepada RM2.6 bilion dalam tempoh lima tahun sahaja.
Sebab itu, apabila timbul isu pelantikan menteri besar Selangor tempoh hari, ketiga-tiga pemimpin DAP, PAS dan PKR hanya menghantar satu nama sahaja, iaitu nama Abdul Khalid, untuk dipersembah dan diperkenan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Kerajaan negeri telah menetapkan 21 Jun ini bagi tarikh majlis angkat sumpah pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari DAP Hannah Yeoh sebagai Speaker dan timbalannya dan juga Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad.
Hannah Yeoh muncul sebagi wanita pertama dilantik Speaker, baik di DUN maupun di Dewan Negara dan Dewan Rakyat sejak negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957

fmt.

No comments: