Wednesday, June 26, 2013

Takziah Buat Keluarga Adun K.Besut , PRK Yang Pertama Bermula

Al-Fatihah

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut, Terengganu Dr. Abdul Rahman Moktar yang berusia 55 tahun meninggal dunia pada pukul 10.18 pagi tadi kerana penyakit barah paru-paru. 

Adun Barisan Nasional (BN) yang juga merupakan Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kerajaan negeri Terengganu itu meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu.

Perkara ini telah disahkan oleh Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said kepada agensi berita nasional Bernama.

Ini bermakna, pilihan raya kecil (PRK) perlu diadakan tidak lama lagi buat pertama kalinya selepas pilihan raya umum 5 Mei.

Abdul Rahman menewaskan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Beliau meninggalkan seorang isteri, Azizah Omar dan empat orang anak.

Abdul Rahman mendapatkan ijazah kedoktorannya di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran lagi di Kolej Perubatan Filipina di Manila.

Abdul Rahman merupakan anak kelahiran Pulau Perhentian, Kuala Terengganu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengadakan PRK dalam masa 60 hari selepas menerima notis kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

BN pada ketika ini menguasai 17 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 15 kerusi.

Kematian Abdul Rahman menyebabkan BN hanya tinggal 16 kerusi dan kemenangan PR pada PRK akan datang akan menyebabkan DUN Terengganu tergantung. - 26 Jun, 2013.


malaysianinsider

No comments: