Monday, June 3, 2013

SPR Harus meyakinkan Rakyat



PETALING JAYA: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memindahkan kawal selia Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kuasa dan kawal selia sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal buat PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Malah, pengumuman tersebut membuktikan bahawa Kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia,” kata Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, PKR sekali lagi menuntut SPR untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik.

Sebagai langkah permulaan, selaras dengan usul di Kongres Nasional Tahunan ke 9 PKR pada 25 Mei lalu, PKR kekal menuntut agar Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dan Timbalannya Datuk Wan Ahmad Omar segera meletakkan jawatan.

“Ini bagi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Menurut beliau, Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR. SPR bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“Oleh kerana itu, PKR bersama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri,” tegas beliau.

Azmin juga menyarankan agar suatu badan bebas ditubuhkan di bawah bidang kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan SPR untuk membuat syor-syor terhadap urusan persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya.

“Cadangan ini adalah bagi memastikan tidak berlaku ‘conflict of interest’ dan penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab dalam pengurusan pelaksanaan pilihan raya,” katanya.

fmt

No comments: