Loading...

Thursday, June 27, 2013

Kualiti Udara Semakin Pulih



Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari 52 buah stesen pengawasan kualiti udara Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang direkodkan pada jam 4.00 petang, 26 Jun 2013 (Rabu) mencatatkan maklumat-maklumat berikut:-
(i) 7 stesen berada pada tahap baik;
(ii) 42 stesen berada pada tahap sederhana; dan
(iii) 3 stesen berada pada tahap tidak sihat iaitu Nilai, Negeri Sembilan (IPU 153), Seremban, Negeri Sembilan (IPU 104) dan Bukit Rambai, Melaka (IPU 106).
Secara keseluruhannya, status kualiti udara sehingga jam 4 petang ini bertambah baik di mana hanya 3 kawasan yang masih mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat (IPU antara 101 hingga 200) berbanding sebanyak 19 kawasan yang mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, 3 kawasan pada tahap sangat tidak sihat dan 1 kawasan pada tahap berbahaya pada jam 4 petang semalam, 25 Jun 2013.
Hujan yang turun di kebanyakan kawasan di Lembah Klang pada lewat petang dan malam semalam telah sedikit sebanyak membantu mengurangkan partikel jerebu di ruang udara dan menyebabkan kualiti udara semakin bertambah baik. 
Selain itu, peningkatan status kualiti udara juga dipengaruhi keadaan cuaca dalam negara apabila kekuatan angin barat daya yang bertiup dengan kelajuan lemah pada skala kurang daripada 10 km sejam dan angin dari pelbagai hala telah menyerakkan ketebalan asap jerebu sebelum ini ke kawasan yang lebih meluas meliputi keseluruhan kawasan di Semenanjung Malaysia. 
Keadaan cuaca dan pergerakan angin ini dijangka akan berterusan sehingga hari Jumaat, 28 Jun 2013. Dalam tempoh tersebut iaitu sehingga 28 Jun 2013 ini, adalah dijangka kualiti udara akan bertambah baik berbanding sebelum ini dan stabil sekiranya punca kebakaran atau titik panas (hotspot) di Sumatera Tengah, Indonesia terus berkurangan. 
Kronologi tindakan
Bermula pada 24 Jun 2013, bacaan IPU setiap jam untuk makluman orang awam telah boleh diakses melalui laman portal Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di alamat url www.nre.gov.my dan mulai pada 26 Jun 2013 di laman portal Jabatan Alam Sekitar di alamat url www.doe.gov.my. Langkah ini akan membolehkan orang awam mendapat maklumat yang terkini mengenai status kualiti udara dan keadaan jerebu.
Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 25 Jun 2013 menunjukkan lingkaran asap jerebu sederhana telah menyelubungi hampir keseluruhan kawasan Semenanjung Malaysia. Pihak ASMC juga melaporkan bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 di Sumatera, Indonesia pada semalam, 25 Jun 2013 telah menurun secara mendadak iaitu sebanyak 174 titik panas berbanding 437 titik panas yang dikesan pada 24 Jun 2013.
Di Malaysia, bilangan titik panas (hotspot) yang dikesan melalui imej satelit NOAA 18 pada semalam, 25 Jun 2013 adalah sebanyak 12 titik panas iaitu di Johor (1), Kelantan (1), Pahang (7), Sarawak (2) dan Selangor (1) .
Tindakan di peringkat tempatan
Berikutan kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia mengalami kemerosotan kualiti udara sejak lebih seminggu lalu, Ketua Pengarah Alam Sekitar telah mengeluarkan Perintah Larangan Pembakaran Terbuka di bawah Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001 KECUALI bagi beberapa aktiviti iaitu pembakaran mayat, pembakaran bagi tujuan keagamaan dan gril/barbeku yang tidak dilakukan di kawasan tanah gambut:- 
i. Pada 25 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Perak dan Pulau Pinang; 
ii. Pada 24 Jun 2013 meliputi seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Negeri Sembilan, Pahang dan Terengganu; dan
iii. Pada 19 Jun 2013 meliputi seluruh negeri Selangor, Melaka dan Johor.
Semua Perintah Larangan tersebut adalah masih berkuatkuasa sehingga masa kini.
Semenjak 20 Jun 2013, Majlis Keselamatan Negara telah mengaktifkan Jawatankuasa Penyelarasan Pengurusan Jerebu mengikut tahap amaran (on alert) dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan yang melibatkan peranan pelbagai agensi seperti Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengawasi dengan rapi status kualiti udara di seluruh negara dan telahpun menggerakkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan dan mengaktifkan Pelan Tindakan Mencegah Pembakaran Terbuka di semua negeri. 
Selain daripada itu Jabatan Alam Sekitar juga telah mempertingkatkan pelaksanaan Prosedur Tetap Operasi (SOP) Program Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut Yang Mudah Terbakar bagi mencegah dan mengawal sebarang punca tempatan yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. 
JAS juga mempertingkatkan penguatkuasaan ke atas pelepasan asap dari kenderaan bermotor dan pelepasan dari industri. 
Penguatkuasaan ke atas kesalahan pembakaran terbuka
Pada tahun ini sehingga kini, sebanyak 248 kes kesalahan melakukan pembakaran terbuka telah dikeluarkan kompaun, sebanyak 14 kes kesalahan akan dibawa ke mahkamah dan sebanyak 36 kes telah dikeluarkan Notis Arahan. Bilangan aduan pembakaran terbuka yang direkodkan sepanjang tempoh jerebu iaitu dari tempoh 14 Jun 2013 hingga 26 Jun 2013 adalah sebanyak 293 aduan. 
Tindakan di peringkat dua hala
YB Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar akan menemui rakan sejawatannya di Jakarta, Indonesia pada 27 Jun 2013 (Khamis) bagi membincangkan bentuk kerjasama dalam usaha menangani masalah jerebu merentasi sempadan. 
Malaysia juga akan terus menggesa Indonesia untuk meratifikasi Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan yang telah diwujudkan semenjak tahun 2002 serta mempertingkatkan keberkesanan tindakan di peringkat tempatannya melalui Pelan Tindakan Indonesia Dalam Menangani Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan.
Mesyuarat Ke-15 Sub-Regional Ministerial Steering Committee On Transboundary Haze Pollution (MSC) yang mulanya dijadualkan pada bulan Ogos 2013 kini telah dicadangkan untuk diawalkan pada 17 Julai 2013 di Kuala Lumpur bagi membincangkan penyelesaian segera terhadap masalah pencemaran jerebu merentasi sempadan.
Nasihat / Makluman 
Berikutan cuaca panas dan kering yang sedang dialami Negara, orang ramai terus dinasihatkan supaya tidak melakukan atau menyebabkan pembakaran terbuka. 
Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran-kebakaran kecil dan juga melaporkan kes-kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) di talian bebas tol, 1-800-88-2727.
SUMBER : Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar 

bernama

No comments: