Loading...

Monday, June 17, 2013

Pendamaian Nasional Selepas Blackout 505


Putrajaya mesti menyelesaikan isu penipuan pilihan raya dalam Pilihan Raya 2013 sebelum bercakap soal perdamaian nasional dengan Pakatan Rakyat (PR), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

Ketua pembangkang itu mengatakan langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mengusulkan perdamaian nasional kekal sebagai cakap kosong sekiranya tiada apa dilakukan untuk menyelesaikan penipuan, kecurangan dan salah tadbir oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum 5 Mei. 

“Selesaikan soal Pemilu (pilhan raya umum) yang curang. Rekonsiliasi itu harus berlaku. Walau apa cara sekalipun, isu kecurangan itu perlu ditangani dengan serius,” katanya kepada pemberita di Jakarta pagi ini, seperti dilaporkan oleh Keadilan Daily.
 
Pemimpin de facto PKR itu berada di ibu kota Indonesia selepas lawatan tiga hari ke negara itu di mana beliau bertemu dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. 

Terdapat spekulasi beliau turut akan bertemu Najib yang secara kebetulan berada di Jakarta. 

Anwar menafikan terdapat pertemuan dan rancangan untuk pertemuan seperti itu. 

“Tidak ada pertemuan. Tidak ada rencana untuk adakan pertemuan. Jika ada, ianya harus telus. Rakyat perlu tahu, pimpinan seluruh partai perlu tahu,” katanya kepada pemberita di Hotel Crown Plaza, Jakarta. 

The Malaysian Insider difahamkan Najib juga dijadualkan untuk mengadakan pertemuan tertutup dengan Yudhoyono yang telah menyatakan kebimbangan berkenaan dengan keputusan pilihan raya Malaysia. 

Barisan Nasional (BN) yang dipimpin Najib berjaya mempertahankan Putrajaya dengan memenangi 133 kerusi Parlimen berbanding PR 89 daripada 222 kerusi di Dewan Rakyat. Majoriti BN kurang tujuh berbanding kemenangan Pilihan Raya 2008 di bawah perdana menteri pada ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi. 

Dalam sidang akhbar itu, Anwar mengulangi tuntutan agar perubahan berlaku dalam kepimpinan SPR dan kerajaan membenarkan perhimpunan Black 505 di Padang Merbok Sabtu depan yang mahukan tuntutan sama. 

“Najib perlu tahu. Pokoknya kecurangan pemilu,” kata Anwar menggunakan bahasa Indonesia menjelaskan, himpunan Black 505 akan tetap diteruskan di Padang Merbok, walaupun terdapat amaran ianya adalah perhimpunan haram. 

Pemimpin PKR itu turut menyelar kerajaan berhubung penangkapan 15 peserta ‘flashmob’ Black 505 di hadapan gedung membeli-belah Sogo di ibu kota Malaysia semalam. 

Katanya, tangkapan tidak ubah seperti suasana sebelum merdeka apabila pengedaran risalah dianggap sebagai kesalahan. 

“Sedangkan ini cara baru anak muda memperjuangkan keadilan dan menolak perkauman. Kemunculan anak-anak muda sebelum dan selepas pemilu luar biasa,” katanya. - June 16,2013 


malaysianinsider

No comments: