Monday, June 10, 2013

Selangor Sedia Bayar Kos Petisyen Pilihan Raya - TSKI


KUALA LUMPUR, 10 JUN – Kerajaan Negeri Selangor bersedia mengeluarkan sumbangan bagi membiayai dana kos guaman kepada mana-mana pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, langkah tersebut bagi memastikan usaha memperbaiki proses demokrasi di negara ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Mereka yang menyaman di mahkamah, jika betul kita dapati usaha mereka itu munasabah dan kita Kerajaan Negeri melalui (Program) Pendemokrasian, akan beri sumbangan atas kos guaman mereka,” kata Abdul Khalid dipetik dari portal Selangorku.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pelabuhan Kelang itu, kerajaan negeri sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan berkongsikan data yang diperolehi menerusi Program Pendemokrasian Selangor dengan pihak yang yang berusaha mengumpul bukti penyelewengan dalam Pilihan Raya 2013 lalu.

“Kita juga membenarkan data-data itu dianalisa, kerajaan negeri menggalakkan usaha tersebut untuk melahirkan pilihan raya yang adil dan saksama,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Geran Selangorku mengambil langkah pengukuhkan demokrasi dengan menyediakan peruntukkan berjumlah RM5 juta.


Hari ini Rafizi Ramli mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan 24 petisyen membabitkan 24 kerusi Parlimen di seluruh negara pada minggu ini.

Menurut pengarah strategi PKR itu, PR juga akan turut memfailkan 10 lagi petisyen pilihan raya membabitkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu,19 daripadanya adalah daripada PKR, dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

“Satu petisyen membabitkan jumlah RM10,000 untuk petisyen dan RM5,000 bagi urusan pemfailan kes, justeru kami memerlukan sekitar RM1.5 juta bagi kesemua petisyen,” kata Rafizi kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR di sini.

Jelas ahli Parlimen Pandan itu lagi, untuk kerusi Parlimen Bagan Datoh yang dimenangi oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pihaknya akan memfailkan dua petisyen, yang mana salah satunya adalah petisyen perbelanjaan melebihi RM200,000 seperti yang diperuntukkan Akta Pilihan Raya.

“Kami mendapat maklumat beliau memberikan RM100 dan 5kg beras kepada 24,000 pengundi di sana yang mana menjadikan perberbelanjaan untuk itu sahaja lebih RM2 juta,” katanya.

Kesemua petisyen berkenaan juga jelasnya akan difailkan secara berasingan mengikut negeri masing-masing.

Serentak dengan itu, PKR, jelas pemimpin muda itu akan memfailkan tindakan undang-undang termasuk petisyen berasingan di Sabah menuntut mahkamah menyemak senarai pengundi yang dicemari pengundi hantu berdasarkan keterangan yang dibuat Suruhanjaya Diraja (RCI) Sabah, dakwanya.


malaysianinsider

No comments: