Thursday, November 4, 2010

Pemilihan Parti: PKR Sasar 50 Peratus Keluar Undi Hujung Minggu
04/11/2010 Share



KUALA LUMPUR 4 NOV: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyasarkan 50 peratus atau kira-kira 20,000 ahlinya akan keluar mengundi hujung minggu ini berbanding hanya sekitar sembilan peratus yang direkodkan pada tiga hari pertama minggu lalu.

Sasaran itu setelah semua pihak memberi perhatian pada trend keluar mengundi di 68 pusat pembuangan undi sekitar Kedah, Perlis, Kelantan, Pahang, Negeri dan Perak pada tiga hari pertama pengundian - yang diadakan minggu lalu, menyaksikan kemerosotan 50 peratus berbanding ketika pemilihan bahagian baru-baru ini.

Ketika pemilihan bahagian PKR merekodkan hampir 20 peratus daripada 400,000 ahlinya di seluruh negara.

Pentadbir Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Raden Shamsulkamar Raden Shamsudin sendiri berkata, lebih 70 petugas sekretariat itu dijadualkan turun lebih awal di 26 pusat pembuangan undi di Sabah dan Pasir Mas di Kelantan supaya trend negatif minggu lalu tidak berulang.

“Persiapan berjalan lancar, tidak ada masalah. Sejak semalam (kelmarin), kami (JPP) agresif menghubungi cabang-cabang (pusat pembuangan undi) yang akan terlibat dalam proses pengundian,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Katanya lagi, JPP turut melancarkan kempen di beberapa cabang di Sabah supaya pemilih akan keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam menentukan pucuk pimpinan parti.

Di Sabah, pengundian akan berlangsung di Kudat, Kota Belud, Kota Kinabalu, Penambang, Papar, Beaufort, Ranau, Keningau, Libaran, Sandakan dan Silam pada Sabtu ini dan disusuli Tawau, Tauran, Sepanggar, Kota Marudu, Pensiangan, Putatan, Kimanis, Sipitang, Tenom, Beluran, Batu Sapi, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Labuan keesokan hari.

Ia sepatutnya diadakan minggu lalu tetapi ditangguhkan kerana pilihan raya kecil kerusi Batu Sapi.

Begitu juga di Kelantan, proses pembuangan Undi di Pasir Emas yang tertangguh pada 29 Oktober lalu disebabkan masalah logistik akan dilangsungkan lusa.

Raden yang juga Setiausaha Pengelola PKR berkata, terdapat banyak faktor yang membentuk iklim suram pada pemilihan peringkat pusat jika dibandingkan dengan iklim pemilihan peringkat cabang.

“Ada dua tiga sebab... pertama anggota-anggota kita melihat gaya pemilihan pusat bukan sebahagian daripada kepentingan mereka.

“Orang lain sudah mengundi, kita tak payah mengundi lah kan,” ujarnya.

Kedua katanya, musim pemilihan kebetulan dalam musim cuti sekolah yang panjang, Deepavali di samping dekat dengan musim pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas.

“Satu lagi, bagi Kelantan dan Negeri Sembilan (minggu lepas) kebetulan jatuh pada hari perlawanan akhir Piala Malaysia (iaitu) Sabtu malam (Ahad).

“Peratusan turun mengundi di Kelantan terjejaslah sebab ramai anggota kita adalah penyokong Kelantan dan mereka sertai pelawanan akhir itu secara langsung,” beliau menambah.

Di samping itu, beliau turut meminta pemimpin-pemimpin tertentu yang bertanding sempena pemilihan pusat kali ini supaya masing-masing menghentikan kritikan secara terbuka.

Ini kerana katanya, budaya tersebut turut membentuk sikap akar umbi PKR untuk melihat pemilihan peringkat pusat bukanlah sebahagian daripada kepentingan mereka.

Pun begitu, Mustaffa Kamil Ayub yang bertanding jawatan timbalan presiden PKR memberikan sisi pandangan yang berbeza berhubung perubahan trend turun mengundi antara musim pemilihan pemimpin bahagian dan pusat.

“(Peratusan keluar mengundi) musim pemilihan pemimpin cabang meningkat kerana pemimpin-pemimpin di peringkat cabang sendiri yang bekerja dan mengerah pengundi untuk keluar mengundi.”

“Di peringkat pusat, budayanya berbeza dan kesedarannya tetap ada dan sihat kerana mereka keluar bukan lagi disebabkan kerana diberi duit minyak oleh pemimpin-pemimpin tertentu yang kaya.

“Kalau ada cabang dicatur oleh seseorang pemimpin pusat, ada wang, maka peratusan keluar mengundi di situ akan tinggi... saya di cabang pun kalah sebab saya mempertahankan prinsip (iaitu) tolak politik wang dan amal politik nilai,” ujarnya semalam sambil merakamkan penghargaan kepada akar umbi parti yang jujur dan berintegriti sempena pemilihan kali ini.

Baginya, peratusan keluar mengundi bukanlah sesuatu aras tanda yang penting untuk sebuah parti massa seperti PKR yang mahu mengambil alih kerajaan persekutuan.

“Buat apa peratus (keluar mengundi) tinggi, pencalonan dan undi kita tinggi, kalau rakyat melihat kita seperti Umno yang mengamalkan politik wang, rasuah, kronisme serta tidak menghormati semangat setiakawan,” beliau menambah.

Salah seorang calon naib presiden Chua Tian Chang atau lebih dikenali sebagai Tian Chua pula berbendapat, perubahan trend turun mengundi pada musim pemilihan pemimpin cabang dan musim pemilihan pemimpin pusat sewajarnya dianggap sebagai lumrah.

“Sebenarnya ia adalah lumrah kerana mereka memilih perkara yang mereka minat,” ujarnya kepada The Malaysian Insider.

“Lebih baik mereka undi kepimpinan cabang kerana mereka kenal, dari mengundi seseorang yang sesetengah mereka tidak kenal di pusat,” katanya.

Oleh itu kata beliau, isu peratusan turun mengundi pada pemilihan pusat yang dibangkitkan sejak seminggu yang lalu bukan isu besar bagi mencerminkan proses demokrasi dalam parti.

“Bolehkah kita kata calon yang menang di Galas tidak layak sebab peratusan turun mengundi kurang 40 peratus.

“Tetapi di Batu Sapi yang keluar mengundi adalah 80 peratus, maka kita kata 80 peratus itu lebih demokratik daripada 40 peratus.”

“Demokrasi bukan begitu, yang mengundi atau tidak keputusan mereka perlu dihormati,” ujarnya.

Pun begitu, beliau percaya sistem satu anggota satu undi yang diperkenalkan oleh PKR sempena pemilihan kali ini berjaya menyuntik kesedaran di kalangan anggota untuk melihat pripentingnya demokrasi di tanah air.

Badrul Hisham Shaharin atau ‘Chegubard’ yang bertanding ketua AMK, sayap pemuda PKR pula menganggap, isu peratusan keluar mengundi merupakan salah satu aras tanda bagi mencerminkan ‘maruah’ parti.

“Kita (AMK menganggap) parti perubahan, maka sewajarnya selaku anak muda tiap kali punya peluang kita bukan sekadar berjalan, sebaliknya perlu berlari menuju perubahan... ubah sebelum parah, ubah demi maruah,” kata beliau hari ini.

Baginya, keluhan berhubung isu kemerosotan peratus turun pengundi menggunakan sesawang internet sebenarnya tidaklah menyelesaikan masalah pokok.

Sebaliknya beliau berkata, semua anggota AMK perlu menunjukkan sikap kebertanggungjawaban pada musim pemilihan pusat sekarang.

“Justeru, semua anggota khususnya anak muda diharapkan menggunakan peluang sepenuhnya hak demokrasi dalam parti (untuk) melaksanakan tanggungjawab mengundi,” ujarnya.

Beliau turut menjangkakan bahawa peratusan turun mengundi meningkat di Sabah disebabkan momentum pilihan raya kecil di Parlimen Batu Sapi hari ini.

Jangkaan itu ujarnya, disebabkan Ansari Abdullah bukan sahaja calon Pakatan Rakyat di sana, malah merupakan salah seorang calon naib presiden.

Penyandang ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin juga yakin peratusan akan keluar mengundi hujung minggu ini dan selepas itu akan meningkat dengan lebih ketara.

“Saya lihat akan ada peningkatan selepas ini, lebih 10 hingga 15 peratus,” kata beliau sambil menambah, trend minggu lalu dan kesan pilihan raya kecil kali ini akan membawa kesan di kalangan pengundi agar keluar mengundi beramai-ramai.

“AMK akan melakukan sesuatu selepas ini agar peratusan pengundian dapat dipertingkatkan,” katanya.

Shamsul Iskandar juga berkata peratusan sokongan yang diterima seseorang calon sepanjang tiga hari pertama dijangka akan menjadi faktor menarik lebih ramai keluar mengundi selepas ini.

Selepas 6 dan 7 November ini, pengundian seterusnya dijadualkan pada 12, 13, 14, 20 dan 21 November ini.

Tumpuan paling panas pada Sabtu dan Ahad ini dijangkakan masih pada kerusi Timbalan Presiden yang menjadi perebutan antara Azmin Ali, Mustaffa dan Datuk Zaid Ibrahim.

Keputusan rasmi berdasarkan tiga hari pertama menunjukkan Azmin di depan berbanding Zaid Ibrahim.

Kerusi Ketua Wanita turut menjadi perhatian apabila penyandangnya Zuraida Kamaruddin dicabar oleh Animah Ferrar dan Dr. Suraya Sudin.

Begitu juga dengan kerusi Ketua AMK yang menyaksikan Shamsul Iskandar dicabar oleh Badrul Hisham.

Zuraida, Tian Chua dan Badrul Hisham berada di depan dalam saingan peringkat masing-masing.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kekal mempertahankan jawapan presiden selepas tiada pencabar.

Seramai 17 calon Naib Presiden, iaitu Ansari Abdullah yang kini merupakan calon PKR di Batu Sapi, Tian Chua, Nurul Izzah Anwar, Baru Bian, Dominique Ng, Fuziah Salleh, N. Gobalakrishnan, James Ghani, Jonson Chong, Datuk Dr Mansor Othman, R. Sivarasa, S. Manikavasagam, Saiman Marjuki, R. Suresh Kumar, Dr. Xevier Jayakumar, Yahya Sahri dan Yusmadi Yusoff merebut empat kerusi Naib Presiden.-The Malaysianinsider

No comments: