Loading...

Monday, November 8, 2010

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011
Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
12:33pm
Kongsi 0
Sebanyak RM1.43 bilion diperuntukkan dalam belanjawan negeri Selangor yang dibentangkan di Dewan Undang Negeri itu oleh menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM830 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus mankala sebanyak RM600 juta selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan negeri.

Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding jumlah RM1.3 bilion dalam belanjawan 2010 dan dinyatakan sebagai belanjawan berimbang bertemakan "Hasil Negeri Untuk Rakyat."

Di bawah perbelanjaan mengurus, sejumlah besarnya sebanyak RM333 juta (40.12 peratus) diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan, manakala RM282 juta (33.98 peratus) akan digunakan untuk bayaran emolumen.

Selebihnya; sebanyak RM208.5 juta (25.12 peratus) diperuntukkan untuk pemberian dan bayaran tetap, RM5.7 juta (0.69 peratus) untuk pembelian aset dan RM800 ribu untuk perbelanjaan lain.

Di bawah peruntukan pembangunan pula, menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri menerima peruntukan paling besar berjumlah RM225 juta, diikuti jabatan kerja raya sebanyak lebih RM153 juta.

Jabatan agama Islam turut merupakan antara penerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM110.6 juta, selain jabatan pengairan dan saliran sebanyak RM45 juta serta jabatan pertanian yang menerima RM15 juta.

Dalam ucapan pembentangannya pagi ini, Khalid berkata kerajaan negeri turut menjangkakan peningkatan kutipan cukai sebanyak 15.42 peratus (RM70,960,000) melalui kutipan hasil cukai bagi 2011.

Khalid juga berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Selangor untuk tahun 2010 diunjurkan berada pada tahap 6.1peratus berbanding penguncupan 1.2 peratus pada tahun 2009.

Katanya lagi, KDNK Selangor disumbangkan lima sektor utama, paling utama melalui sektor perkhidmatan (60.5 peratus) dan pembuatan (32.4 peratus).

Sumbangan daripada kedua-dua sektor ini membolehkan ekonomi Selangor tumbuh lebih baik berbanding pertumbuhan yang dicatatkan oleh negara Malaysia antara 2007 hingga 2009, katanya.

Menurut Khalid, empat strategi dirangka untuk merealisasikan tema belanjawan kali ini, antaranya melalui pengurusan sumber negeri secara bijaksana dan pengurusan perbelanjaan yang cekap.

Ia turut menggariskan strategi bagi mendorong pembangunan modal insan serta memantapkan pembangunan negeri.

No comments: