PKR sahkan Azmin timbalan presiden, Elizabeth Wong undi tertinggi MPP
PETALING JAYA, 28 Nov - Di sebalik proses pemilihan langsung bersejarah yang turut dicemari dakwaan kecacatan dan kepincangan, Azmin Ali hari ini secara rasmi diumumkan sebagai Timbalan Presiden PKR yang baru.
Azmin menggantikan Senator Dr Syed Husin Ali yang menyandang jawatan itu sejak 2003.
Naib Presiden itu menewaskan pencabarnya yang juga Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub dengan memperoleh undi sebanyak 19,534.
Azmin merupakan timbalan presiden keempat PKR yang ditubuhkan April 1999.
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengekalkan jawatannya tanpa cabaran.
Awalnya jawatan timbalan presiden ditandingi oleh Datuk Zaid Ibrahim tetapi menarik diri selepas minggu kedua pengundian atas alasan wujud kepincangan dalam proses pemilihan.
Mustaffa juga membuat dakwaan itu tetapi meneruskan saingan dengan protes.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Tetap Hishamuddin Ismail ketika Kongres Nasional PKR yang berakhir hari ini.
Sementara itu, bagi jawatan naib presiden, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar mendahului senarai apabila menerima 13,211 undi.
Ini kali pertama Puteri Reformasi itu bertanding jawatan itu.
Kesemua empat naib presiden yang dipilih merupakan muka baru.
Turut memegang jawatan itu Ahli Parlimen Batu Tian Chua yang mendapat 11,744 undi, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh (8,927) dan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Datu Dr Mansor Othman (8,576).
Bagi 20 jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Elizabeth Wong mendapat undi tertinggi dengan menerima 10,897 undi.
Ia diikuti Badrulamin Bahron (9,672), Hee Loy Sian (8,473), Khalid Jaafar (7,889), Johari Abdul (7,719) dan Abdul Rahman Yusof (7,719).
Turut dipilih menjawat ahli MPP yang baru adalah Haniza Talha (7,588), Fariz Musa (7,511), Zakaria Abdul Hamid (7,170), Roland Chia Ming Shan (7,095), Siti Aisah Shaik Ismail (6,876), Ismail Yusof (6,332), Latheefa Koya (6,242), S. Kesavan (6,139), Shuhaimi Shafiei (6,095), M. R. Shamugam (5,964), Yusmadi Yusoff (5,810), S. Manikumar (5,789), Mustafa Kamal Yusoff (5,745), Christina Liew (5,707).
Sumber: Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment