Monday, March 28, 2011

Azmin kesal polis serbu kediamannya

Fazy Sahir | March 28, 2011

Adun Bukit Antarabangsa itu tidak dimaklumkan tujuan penyiasatan.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa Mohamad Azmin Ali kesal dengan tindakan polis yang menyerbu kediamannya malam tadi hanya semata-mata untuk menyerahkan notis bagi menghadiri satu penyiasatan di bawah Seksyen 111 Kanun Acara Jenayah.

Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau tidak dimaklumkan tujuan penyiasatan itu dan meminta ditangguhkan memandangkan beliau perlu hadir pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor pagi ini.

Menurut Azmin, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya berkeras agar beliau hadir memberi keterangan hari ini namun setelah berbincang dengan peguamnya, beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya (IPPD) pada hari Rabu jam 10 pagi.

“Ketika kejadian saya tiada dirumah kerana menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat parti. Namun isteri saya maklumkan bahawa ada satu notis yang memerlukan saya hadir ke IPPD jam 10 pagi hari ini.

“Saya kesal kerana tidak dimaklumkan tujuan penyiasatan dan minta tangguh kerana perlu hadir sidang Dun. Saya tidak tahu berkaitan apa saya dipanggil. Malah notis dikeluarkan bertarikh notis 26 Nov 2010. Polis telah keluar notis lapan bulan lebih awal.

“Saya persoalkan cara polis bertindak seolah-olah saya dan rakan-rakan macam penjenayah. Kenapa perlu serah notis seperti itu. Ini merupakan gangguan kepada keluarga saya,” katanya ketika ditemui selepas perasmian sidang Dun awal pagi ini.

Selain Azmin, Amirudin Shari (Adun Batu Caves) dan Saari Sungib (Adun Hulu Kelang) turut menerima notis yang sama. Masing menerima notis tersebut antara jam 2.00 – 2.30 pagi.

Menurut beliau lagi, ketika kejadian terdapat empat kenderaan polis serta dua kereta yang tidak dikenali hadir di depan rumah beliau.

Polis tidak profesional

Azmin menyifatkan tindakan polis itu sebagai tidak profesional dan mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan perundangan ke atas polis yang didakwa membuat kecoh ketika Pelancaran Kempen Tolak Kes Fitnah II anjuran PKR di perkarangan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Gombak, Taman Melawati Jumaat lalu.

Katanya, pihak peguam sedang meneliti kes iaitu pertama membabitkan pencerobohan ketika majlis itu dan kedua, memandangkan pihak polis bertindak diluar kuasa mereka disebabkan kawasan program itu dijalankan ditempat beliau sendiri.

“Perhimpunan aman dan teratur menjadi kecoh kerana polis cuba timbulkan provokasi. Peguam hantar notis kepada pihak OCPD Ampang agar mohon maaf dan jika tidak kami akan teruskan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

Beliau berkata, “biar pihak peguam lihat secara menyeluruh dan esok kami akan hantar satu notis dahulu.”

“Apa yang sedang berlaku dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM). KPI mereka rendah jika inilah prestasi yang ditonjolkan Menteri Dalam Negeri?,” soalnya.

Azmin diwakili peguam Lateefa Koya dan N Surendran dalam kes ini.

Sementara itu, Adun Sri Muda Shuhaimi Shafie turut kesal ekoran mahkamah turut mengarahkan beliau hadir bagi kes hasutan yang dihadapinya sedangkan beliau telah memaklumkan lebih awal untuk hadir dalam perasmian Dun awal pagi ini.

“Saya telah beritahu secara ‘verbal’ (lisan) bahawa saya tidak boleh hadir ke mahkamah hari ini memandangkan perlu ke sidang Dun.

Malah pihak peguam saya telah hantar notis rasmi berhubung perkara yang sama.

“Saya kesal kerana ia hanya kes sebutan dan harap dapat beri ruang kepada saya untuk hadir sidang Dun. Dimaklumkan juga bahawa kes itu ditunda kepada 25 April depan,” katanya kepada para wartawan di ruang lobi Annex hari ini.

Shuhaimi didakwa di bawah seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di sini berhubung penulisannya dalam blog yang didakwa menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan tersebut.

No comments: