Saturday, March 19, 2011

KENYATAAN AKHBAR

16 MAC 2011

MENTERI BESAR MENUNTUT PENJELASAN PERDANA MENTERI BERHUBUNG PROJEK RIVER OF LIFE

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada YAB Perdana Menteri bagi mendapatkan penjelasan berhubung projek River Of Life di bawah Program Transformasi Ekonomi (ETP) untuk membersihkan Sungai Klang yang dibahagikan kepada tiga aspek iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan.


Surat ini telah dihantar kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, pada 15 Mac 2011.


Dalam surat itu, Menteri Besar menuntut penjelasan YAB Perdana Menteri mengapa tiada sebarang perkara substantif yang dilakukan dalam menjayakan projek River of Life walaupun mesyuarat telah diadakan yang dipengerusikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.


Beliau juga menyatakan kekecewaan apabila timbul beberapa persoalan mengenai ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam proses membuat keputusan dan mahukan YAB Perdana Menteri menjelaskan beberapa perkara iaitu:


· Pemilihan MRCB-Ekovest dan adakah tender terbuka digunapakai dalam pemilihan syarikat itu sebagai Project Development Partner (PDP).


· Pelan kewangan dan persetujuan antara kerajaan Persekutuan dan MRCB-Ekovest berhubung projek itu secara keseluruhan dan jumlah yang akan dibayar kepada syarikat itu bagi menyiapkan projek berkenaan


· Kenapa Kerajaan Selangor disisihkan daripada projek pembersihan dan pembangunan Sungai Klang


· Mengapa LUAS tidak diberi tanggungjawab terhadap projek pembersihan sungai di kawasan Selangor


· Meminta peruntukkan RM2 juta turut diberikan kepada PBT lain di sepanjang laluan sungai iaitu MBSA, MBPJ, MPSJ dan MPK


Dalam surat itu, Menteri Besar menjelaskan kepada YAB Perdana Menteri bahawa Kerajaan Selangor telah memulakan usaha membersihkan Sungai Klang kira-kira setahun sebelum projek River of Life yang melibatkan masa serta peruntukan kewangan.


Kerajaan Selangor juga telah menyenarai pendek tiga syarikat untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan Sungai Klang.


Sehubungan itu, Menteri Besar mencadangkan YAB Perdana Menteri mengadakan mesyuarat dengan tiga syarikat berkenaan bagi melihat teknologi yang dicadangkan oleh syarikat berkenaan.


Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR


--
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
Tel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686
www.selangorkini.com.my
www.tvselangor.com
http://www.youtube.com/user/mbselangor

No comments: