Monday, March 7, 2011

Selangor Jamin Semua Pelajar Tajaan Akan Sambung Belajar Di Mesir
Oleh Suara Keadilan

sgor1Kerajaan Selangor akan memastikan setiap pelajar dari negeri ini tidak disisihkan dalam misi menghantar pulang pelajar ke Mesir yang bermula 12 Mac ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata setiap pelajar akan diberi layanan seadil-adilnya untuk membolehkan mereka pulang dan menyambung pelajaran yang tertangguh ekoran pengolakan politik di Mesir.

Beliau berkata, semua kos menghantar pulang pelajar ke Mesir ditanggung sepenuhnya Kerajaan Negeri tanpa mengira pelajar terlibat adalah pelajar tajaan, persendirian atau tajaan lain.

"Ini adalah tanggung jawab kerajaan negeri dan wajib kepada kita untuk membantu pelajar-pelajar ini. Soal kewangan kita tidak perlu risau kerana kerajaan Selangor mempunyai simapanan mencukupi hasil perbelanjaan berhemah dan jimat cermat," katanya ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 1,000 pelajar Mesir di Masjid Negeri, Shah Alam, hari ini.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri telah menghantar pegawai ke Mesir untuk memastikan penghantaran pulang pelajar ini berjalan lancar manakala Tourism Selangor pula menguruskan penerbangan pulang pelajar-pelajar ini.

Katanya, kesemua pelajar akan ditempatkan di satu pusat untuk memudahkan urusan menghantar mereka ke lapangan terbang.

"Kita juga akan menguruskan urusan-urusan yang melibatkan Imigresen dan Kastam Diraja Malaysia. Kita lakukan semua ini kerana pelajar-pelajar ini adalah aset penting kepada Selangor dan negara," katanya.

Sementara itu, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, kesediaan kerajaan Selangor menanggung semua kos penghantaran ini adalah selaras dengan program Merakyatkan Ekonomi Selangor dan slogan negeri berkebajikan yang diperjuangkan.

Beliau juga menasihatkan pelajar-pelajar supaya ambil tahu dan peka dengan perkembangan politik, sosial dan ekonomi di Selangor dan negara biarpun sibuk belajar di luar negara.

Sebanyak lima penerbangan disediakan untuk menghantar pelajar pulang ke Mesir bermula 12 hingga 16 Mac 2011. Semua pelajar perlu mendaftar di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam bermula 11 hingga 15 Mac 2011.



SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT MENTERI BESAR SELANGOR

No comments: