Saturday, March 19, 2011

KENYATAAN MEDIA - Ketua Penerangan Keadilan Selangor

KENYATAAN MEDIA

Saya merujuk kepada kenyataan YB Dato’ Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi UMNO (Baru) Selangor yang disiarkan di Sinar Harian di halaman 3, sisipan Selangor (Sentral), bertarikh 19 Mac 2011 (Sabtu) yang bertajuk ‘MB Patut Letak Jawatan: Noh’.

Sebelum YB Dato’ Seri Noh Omar meminta YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan, saya silakan beliau berbuat demikian terlebih dahulu. Jika isu berkenaan pengurusan Yayasan Selangor hendak dijadikan alasan, sebaiknya beliau menjelaskan dahulu kegagalan beliau meneraju kementeriannya dalam menjaga kepentingan dan kebajikan petani tempatan serta menjalankan program subsidi untuk rakyat termiskin.

Sebagaimana yang telah dibangkitkan media bertanggungjawab (media bebas dari kongkongan Kerajaan) sebelum ini, isu berkenaan program Subsidi Beras Untuk Rakyat Miskin (SUBUR) yang dicanang-canang oleh YB Dato’ Seri Noh Omar selaku Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani pada November 2009, masih belum dinikmati oleh rakyat termiskin.

Bagi menutup kegagalan program SUBUR, pelbagai alasan seperti penangguhan oleh Kabinet, senarai penerima tidak lengkap dan masalah pentadbiran Kementerian diberikan. Kita diberi maklumat semasa program perasmian SUBUR oleh Perdana Menteri, sebanyak RM750,000.00 digunakan untuk khemah sahaja. Kontraknya di beri pada Pemuda UMNO yang rapat dengan Noh Omar. Dari November 2009 hinggalah 18 Mac 2011, YB Dato’ Seri Noh Omar terus menjadi menteri yang bertanggungjawab melaksanakan program SUBUR yang gagal. Apakah SUBUR sudah terkubur? Atau ‘nasi sudah menjadi bubur’? Noh patut merasa malu kerana menipu Perdana Menteri.

Kegagalan membekalkan benih padi berkualiti juga menjadi sebahagian dari rekod buruk YB Dato’ Seri Noh Omar. Protes, demonstrasi dan rungutan petani yang kecewa dengan pengagihan benih padi yang diberikan kepada dua syarikat kroni BN tidak langsung menginsafkan YB Dato’ Seri Noh Omar untuk meletak jawatan sebagai menteri. Saya hairan, mengapa kementerian beliau boleh merelakan 2 syarikat swasta tersebut membekalkan benih padi kurang bermutu dengan harga yang lebih tinggi berbanding ketika pengagihan dibuat oleh Jabatan Pertanian? Siapakah yang mendapat keuntungan dari manipulasi ini, petani miskin atau kroni yang kaya-raya? Sebanyak RM35 juta wang rakyat dibazirkan hanya supaya kroni mendapat keuntungan, sementara petani miskin mendapat beban yang berganda.

Jelas, individu yang perlu meletak jawatan sekarang adalah Noh Omar. Selagi beliau disitu, seluruh kakitangan agensi yang berada di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merasa malu mempunyai seorang menteri yang angkuh, sombong dan hanya membela syarikat Pemuda UMNO tertentu dan membiarkan golongan petani terus terhimpit kemiskinan.

Shuhaimi Haji Shafiei
Adun Sri Muda /
Ketua Penerangan Keadilan Selangor

No comments: