Tuesday, March 8, 2011

Rakyat mula nikmati janji PR

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail menegaskan Kerajaan Selangor telah melaksanakan beberapa manifesto yang dijanjikan kepada rakyat selepas mentadbir negeri ini.

Menurutnya, selepas tiga tahun, sebanyak 12 program telah dilaksanakan dan terbaru ialah skim mikro kredit miskin bandar (Mimbar) bagi membantu golongan berpendapatan rendah menambahkan pendapatan mereka.

“Selama tiga tahun mentadbir Selangor, Kerajaan Negeri telah menunaikan manifesto dan melaksanakannya dengan baik dengan mengukur prestasi sudut program berjaya dan mendapati kebajikan yang dilakukan merupakan keperluan rakyat.

“Antara program yang dilaksanakan menunjukkan peningkatan adalah program Tabung Warisan Anak Selangor (Tawas) apabila kita mendapati penerima bertambah seramai 1,000 hingga 2,000 bayi didaftarkan setiap bulan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rodziah berkata, Tawas telah berjaya apabila pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kini menyasarkan 60,000 bayi didaftarkan tahun 2011.

“Pada tahun lalu, seramai 37,000 telah mendaftar dan melebihi sasaran sebanyak 2,000 orang, kini pihaknya hanya memantau apa yang boleh dilaksanakan dan kenal pasti kebajikan yang dilaksanakan akan memberikan manfaat kepada rakyat.

“Kejayaan lain ialah pemberian air percuma bagi 20 meter pertama setiap bulan kepada rakyat di negeri ini telah mengatasi masalah isi rumah di kawasan flat apabila mereka menggunakan meter persendirian untuk menikmati pemberian tersebut,” katanya.

Menurutnya, kini menjayakan program MiMBAR sebanyak RM20 juta dan Skim Mikrokredit Selangor (Skimsel).

“Dari aspek kebajikan, Kerajaan Negeri telah mencapai 65 peratus dan melibatkan fasa 1, 2 dan 3 manakala fasa keempat, dalam perbincangan dan harapan 100 peratus akan tercapai sepanjang lima tahun ini,” katanya.

Antara yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri ialah Tawas, Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Memberi wanita bekerja 90 cuti bersalin, memberi 14 hari cuti kepada suami yang isterinya bersalin dan memberi sebulan cuti kepada wanita yang kematian suami.

“Kemudahan lain ialah program Takaful orang kurang upaya (OKU) sebanyak RM2,500,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Muda, Shuhaimi Shafiei menafikan Kerajaan Negeri gagal melaksanakan manifesto yang dijanjikan sebaliknya mengakui ia dilaksanakan secara berperingkat.

Menurutnya, ia dilaksanakan mengikut kesesuaian iaitu yang perlu didahulukan, didahulukan dan tidak perlu didahulukan, ia dilambatkan kerana Kerajaan Negeri mengkaji baik dan buruk ia dilaksanakan

“Antara yang masih belum dilaksanakan ialah mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20 peratus dam cukai premis komersial sebanyak 10 peratus, memberi bantuan RM50 sebulan seorang bagi pendidikan prasekolah

“Kita laksanakan ikut keutamaan, secara berperingkat dan ada juga perkara yang tidak ada dalam manifesto telah dilaksanakan antaranya pemberian imbuhan kepada guru Kafa dinaikkan RM1,000 dan kini tambahan sebanyak RM300,” katanya.

Menurutnya, manifesto yang dijanjikan dilaksanakan secara sistematik setelah kerajaan negeri melakukan analisis kekuatan kewangan negeri melalui Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) 1, MES 2 dan MES 3.

“MES mempunyai tiga fasa iaitu fasa pertama melibatkan SMUE, Tawas, pemberian air percuma dan RM1,000 kepada anak Selangor yang berjaya memasuki universiti.

“Fasa kedua, lima projek telah dilaksanakan antaranya ialah pembangunan Sungai Klang sepanjang 50 meter dan pemuliharaan bandar Petaling Jaya, Kajang, Klang dan Petaling manakala fasa ketiga pula adalah Skim Sel, Mimbar, perkhidmatan mamogram percuma kepada golongan wanita,” katanya.

Shuhaimi berkata, apa yang telah dilaksankan Kerajaan Negeri ini cuba diperlekeh dan dinafikan BN.

“Jumlah pendapatan negeri juga turut dinikmati oleh 365 kampung di seluruh negeri Selangor,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

1 comment:

Dr_Don said...

Asalamualaikum Tuan YB, amboi...cantik Jari....///-Dr_Don-