Wednesday, March 30, 2011

MBSA lulus pelan tapak kuil Seksyen 23, Shah Alam

Fazy Sahir | March 30, 2011

Kerja-kerja pembinaan jalan masuk ke kuil itu sudah dimulakan dan disediakan oleh PKNS.

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar berkata pindaan pelan susun atur yang melibatkan tapak kuil di Seksyen 23 telah diluluskan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Kerja-kerja pembinaan jalan masuk ke kuil itu sudah dimulakan dan disediakan oleh PKNS (Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor),” katanya yang juga Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri.

Beliau berkata, “satu mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Rodziah Ismail pada 15 Mac 2011 memutuskan agar satu perjanjian di antara pihak PKNS, Jawatankuasa Kuil dan Pejabat YB disediakan sebelum kerja-kerja pembinaan jalan masuk dimulakan.

“Persetujuan asal pembinaan jalan masuk ke tapak cadangan disediakan oleh PKNS,” katanya ketika menjawab pertanyaan mulut daripada Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafie di Dewan Undangan Negeri di sini pagi ini.

Malahan katanya, kerja-kerja pembinaan akan dimulakan selepas persetujuan bersama antara Adun/ahli parlimen, PKNS dan Jawatankuasa kuil berhubung kos pembinaan keseluruhan dan bayaran semula kos kepada PKNS selepas ia disiapkan.

Kontroversi pemindahan kuil di Seksyen 23 ini mendapat perhatian semua pihak termasuklah pemimpin Barisan Nasional (BN) sebelum ini memandangkan terdapat larangan untuk membina rumah ibadat bukan Islam di kawasan perumahan.

Pada September 2009 lalu, kerajaan Negeri mahu mengalihkan kuil dari Seksyen 19 ke Sekyen 23 dan mendapat bantahan daripada penduduk yang majoritinya beragama Islam.

Namun difahamkan rumah ibadat bukan Islam itu akan dibina di lokasi perindustrian.

Xavier berkata buat masa ini kerajaan Negeri juga masih belum bercadang untuk merancang satu ‘master plan’ bagi pembinaan rumah ibadat selain Islam.

Beliau berkata kerajaan Negeri akan memantau dan menyelesaikan isu-isu berkaitan keperluan pembinaan rumah ibadat selain Islam melalui Mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam.

No comments: