Kematian Seorang Lagi Saksi SPRM: Selangor Tekad Lindungi Kakitangan
KENYATAAN AKHBAR
6 APRIL 2011
Kerajaan negeri amat kesal dengan berita kematian seorang lagi saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang amat mencurigakan.
Amat mengejutkan bahawa tragedi ini boleh berulang lagi. Nampaknya SPRM tidak belajar langsung dari kes Teoh Beng Hock dan masih tidak bertanggungjawab atas keselamatan saksi dan tahanan mereka.
Takziah kepada keluarga Penolong Pengarah Kastam Pelabuhan Klang, Ahmad Sarbani Mohd, 56, dilaporkan dijumpai meninggal dunia dipercayai akibat jatuh bangunan SPRM di Jalan Cochrane, pagi ini.
Kini jelas kepada rakyat Malaysia bahawa tanpa ada keadilan yang sepatutnya dalam kes-kes seperti kematian Teoh Beng Hock, insiden-insiden tragis seperti ini akan terus berulang.
Tiadanya tindakan yang serius terhadap mereka yang bertanggungjawab atas kematian Teoh Beng Hock mengakibatkan pihak-pihak tertentu bertindak seakan-akan mereka kebal dari kuasa undang-undang.
Insiden ini juga menguatkan hasrat kerajaan negeri untuk melindungi setiap pegawai kerajaan negeri. Kami akan merayu sehingga peringkat Mahkamah Persekutuan perintah mahkamah tinggi yang membatalkan pekeliling kerajaan negeri yang menyatakan bahawa semua pegawai kerajaan negeri hanya boleh ditemuduga oleh SPRM pada waktu pejabat serta ditemani oleh peguam.
Arahan ini adalah amat wajar memandangkan dua kes kematian ini, dan kerajaan negeri akan memperjuangkan keselamatan pegawai kami tanpa berbelah bagi.
Kami harap kes ini adalah kes terakhir dan akan terus berusaha melindungi dan menjaga kepentingan semua rakyat Selangor dan Malaysia.
TAN SRI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
No comments:
Post a Comment