Tuesday, April 19, 2011

Sarawak : Bukti Politik Persempadanan Semula BN Wajar Dihentikan
Ditulis oleh Wira Arjuna
19/04/2011
Share |



SHAH ALAM 19 APRIL : Undi popular Barisan Nasional dalam Pilihanraya Negeri Sarawak yang berakhir Sabtu lalu merosot lapan peratus, turun daripada 63 peratus kepada 55 peratus.

Sehubungan itu, jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi juga susut daripada 63 kepada 55 sahaja.

Ini bererti blok Pembangkang yang diterajui oleh Pakatan Rakyat menokok tujuh kerusi berbanding Pilihanraya Negeri pada 2006. Ini sekaligus melonjakkan undi popular Pakatan itu 8 peratus (termasuk satu kerusi yang dimenangi oleh calon bebas).

Jika diterjemahkan menurut perangkaan, dengan memenangi 55 peratus undi popular, BN seharusnya memperolehi 39 hingga 40 kerusi sahaja dan bukan 55 kerusi DUN seperti apa yang berlaku dalam pilihanraya negeri itu.

Sementara Pakatan Rakyat yang mendapat 45 peratus undi popular seharusnya memungut 31 kerusi, sekurang-kurangnya.

Namun hakikatnya tidak begitu. Ini kerana sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini tidak memperuntukkan supaya sesebuah kawasan DUN atau parlimen seharusnya mempunyai bilangan pengundi yang lebih kurang sama sahaja jumlahnya di antara satu sama lain.

Faktor geografi menjadi penentu luas kawasan undi dan jumlah pengundi dalam sesuatu kawasan DUN mahupun Parlimen.

Jika nisbah undi popular dijadikan asas untuk menilai berapa banyak kerusi yang diperolehi oleh sesebuah parti politik dalam pilihanraya, maka sudah pasti BN akan mendapati sukar untuk memiliki majoriti dua pertiga.

Pembahagian dan pembentukan kawasan undi boleh digaris silang menurut kawasan geografi, penduduknya mengikut ras, kefahaman agama dan pendirian politik.

Ini diistilahkan sebagai percaturan kawasan undi atau persempadanan semula (gerrymandering). Kuasa untuk membelah-bahagi ini terletak di bawah Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Seperti lazimnya, perakuan pecah sempadan undi dan pembentukan kerusi DUN serta Parlimen dibuat oleh SPR. Maknanya, parti pemerintah akan berpeluang untuk membelah bahagi kawasan undi.

Ini juga bermakna, parti pembangkang hanya boleh memerhatikan sahaja pelaksanaan perubahan kawasan undi tempat mereka akan bertanding.

Dan jika pemerintah berhajat menambah kerusi untuk ditandingi bagi pilihanraya, ia boleh berbuat demikian jika mempunyai majoiriti dua pertiga di Parlimen.

Rumusannya pembangkang kena bertarung dalam gelanggang yang ditentukan oleh parti Pemerintah.

Lantaran itu, penambahan undi popular tidak meninggalkan banyak kesan kepada perimbangan kuasa politik dan pemerintahan di negara ini.

Meskipun sebilangan besar rakyat tidak mahu pemerintah yang sedia ada, kelebihan kuasa dalam memecah-belah kawasan pilihanraya memberikan keistimewaan kepada parti pemerintah untuk memberi tumpuan kawasan mana yang mahu ditandingi, meskipun bilangan pengundi di kawasan itu kecil.

Namun dalam kes Sarawak, keputusan pilihanraya 16 April lalu, membunyikan semboyan kecemasan bahawa budaya sistem politik dua-parti sudah menyelinap ke dalam pemikiran rakyat negeri itu.

Kini rakyat sudah mula memahami bahawa mereka benar-benar ada kuasa untuk menentukan siapa yang mereka mahu angkat sebagai pemerintah. Soal takut kerana diancam ketidaktentuan masa depan ekonomi atau sengaja digertak dengan kemerosotan peluang pembangunan, bukan lagi isu bagi 45 peratus pengundi Sarawak.

Maka ini bererti, dalam pilihanraya umum ke-13 yang dijangka berlaku tahun ini atau awal depan, BN harus akur akan perubahan pemikiran politik ini. Menang di negeri bukan jaminan akan menang banyak kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum untuk BN.

Pilihanraya negeri Sarawak ke-10 ini juga menyerlahkan hakikat bahawa tohmahan bahawa Pakatan Rakyat adalah parti politik dari Semenanjung yang datang untuk “menjajah” tidak diterima oleh rakyat Sarawak.

Tohmahan itu hanya untuk menanam bibit kebencian terhadap Pakatan Rakyat. Hakikat bahawa Pakatan Rakyat dengan saksama menumpukan perhatian untuk menyedarkan rakyat Sarawak akan “penjajahan ekonomi” dari kalangan parti di Sarawak sendiri adalah musuh lebih besar bagi mereka, sudah cukup untuk meyakinkan hampir lima puluh peratus pengundi negeri itu untuk beralih arah.

Ada yang berpandangan bahawa tsunami politik yang diharapkan oleh Pakatan Rakyat tidak berlaku dalam pilihanraya Sarawak dan membuat kesimpulan bahawa ia gagal kerana hanya memenangi 16 daripada 71 kerusi.

Namun bila diukur daripada undi popular, Pakatan Rakyat nampaknya hanya perlu mengekalkan momentum yang ada sekarang dan berusaha lebih sedikit lagi untuk menyedarkan rakyat Sarawak cara mendapat pembelaan lebih adil iaitu dengan tidak mengizinkan BN menakluki Putrajaya. Jika BN gagal menang banyak kerusi Parlimen di Sarawak, peluang untuk BN menggunakan isu persempadanan semula untuk memonopoli kuasa di negara ini, akan dapat dihindari.

Sesungguhnya kini telah terbukti Sarawak dan jirannya, Sabah, tidak boleh dianggap sebagai “simpanan tetap” BN untuk terus mengaut kuasa politik dan ekonomi Malaysia.

Jika Pakatan Rakyat, terutama Parti Keadilan Rakyat, sanggup mengerah kudrat politik dan ekonomi untuk bertanding di 49 kerusi yang kebanyakannya di kawasan pedalaman, ia adalah isyarat bahawa Pakatan Rakyat adalah telus dan ikhlas untuk membawa perubahan bukan sahaja di Bumi Kenyalang malah ke seluruh Malaysia.

Berpandukan keputusan pilihanraya negeri Sarawak ke-10 ini tidak sukar untuk membaca kebimbangan BN bahawa dalam Pilihanraya umum ke-13 bukan sahaja undi popular Pakatan Rakyat akan meningkat di Sarawak malah, sebilangan besar kerusi Parlimen negeri itu tidak jatuh ke tangan BN.

Di salin dari: TV Selangor

No comments: