Monday, April 25, 2011

Menteri Besar Lawat Tapak Cadangan Laluan LRT

Menteri Besar Lawat Tapak Cadangan Laluan LRT



by Abdul Khalid Ibrahim on Monday, April 25, 2011 at 5:47pm

Kerajaan Selangor menyokong penuh projek penyambungan sistem aliran ringan (LRT) bagi meningkatkan mutu perhidmatan pengangkutan awam yang akan merancakkan pembangunan ekonomi negeri Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak menyeluruh telah memperlahankan atau membantutkan pembangunan di kawasan tertentu dan senario ini tidak sihat kepada pembangunan ekonomi negeri.

Bagaimanapun beliau menegaskan, setiap projek pembangunan yang dirancangkan perlulah mengambil kira kepentingan rakyat dan kesannya kepada kehidupan rakyat sekitar kawasan projek.

"Kerajaan Selangor menyokong usaha-usaha kerajaan Pusat ini tetapi kita juga perlu mengambil kira keluhan dan bantahan penduduk yang terlibat dengan projek ini," katanya selepas mengadakan lawatan ke beberapa tapak yang dimasukkan sebagai laluan LRT.

Pada lawatan itu, Menteri Besar dibawa melawat sekitar Shah Alam oleh Persatuan Penduduk Taman Subang Alam yang membantah cadangan laluan LRT antara Kelana Jaya dan Shah Alam.

Antara yang dilawati ialah sebuah rumah di Taman Subang Alam yang mendakwa rumahnya dalam bahaya kerana laluan LRT yang dicadangkan berdekatan dengan tasik sekali gus menyebabkan paras air tasik lebih tinggi.

Penduduk taman itu juga membawa Menteri Besar melawat ke laluan alternatif yang didakwa mereka lebih sesuai dijadikan sebagai laluan LRT.

Tan Sri Abdul Khalid berkata, kerajaan Selangor akan mengajukan bantahan penduduk itu kepada syarikat Prasarana Negara Berhad sebelum membuat keputusan muktamad.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar diiringi Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Mat Shafie dan Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR


YAB MB turun padang

Semalam YAB Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim turun Padang ke Tapak Laluan @ jajaran LRT di Alam Megah.
Turut hadir ialah ADUN Sri Muda, Dato Bandar Shah Alam, Ahli Majlis dan Ketua-ketua Kampung.
Ia bagi menyelesaikan kes tertangguh mengenai laluan ini yang akhirnya akan memberi manafaat kepada kira-kira 700,000 penduduk di sekitar Subang, Puchong dan Bandar Kinrara dekat sini mungkin tidak perlu berdepan dengan masalah kesesakan jalan raya selepas ini apabila jaringan terbaru perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) akan diperluaskan ke kawasan mereka.
Melalui jajaran baru itu, kedua-dua perkhidmatan LRT iaitu Laluan Ampang dan Laluan Kelana Jaya akan diperluaskan ke laluan baru sejauh 17 kilometer hingga ke Putra Heights, Subang.

Projek yang dijangka menelan belanja sehingga RM7 bilion dan siap menjelang tahun 2012 itu melibatkan sambungan dari stesen Sri Petaling bagi Laluan Ampang manakala dari Kelana Jaya bagi Laluan Kelana Jaya ke stesen terakhirnya di Putra Heights dengan tambahan 13 stesen baru.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Prasarana Negara Bhd. (Prasarana), Datuk Idrose Mohamed berkata, antara kawasan baru yang dijangka dilalui oleh LRT tersebut ialah di Bandar Kinrara, Pusat Bandar Puchong, Taman Perindustrian Puchong, Taman Puchong Perdana, Taman Puchong Prima, USJ 8, USJ 21, SS 7, Taman Perindustrian Subang Jaya, Persiaran Murni, Taman Alam Megah dan Kompleks Kelana Centre Point.

No comments: