Thursday, April 14, 2011

Sebutan semula pembatalan kes Shuhaimi Shafiei 31 Mei depan

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan tarikh sebutan semula bagi membatalkan pendakwaan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei pada 31 Mei depan.

Pendaftar Mahkamah Tinggi Jenayah dan Timbalan Pendakwa Raya, Tuan Ishak yang hadir bagi pihak pendakwa semalam memutuskan tarikh baru sebutan semula itu kerana pihak pendakwa memerlukan masa bagi menjawab afidavit yang difailkan Shuhaimi pada 1 April lalu.

Beliau yang diwakili peguam Amer Hamzah Arshad hadir di mahkamah bagi kes sebutan membatalkan pendakwaan terhadapnya di bawah Akta Hasutan 1948.

Shuhaimi dalam kenyataanya hari ini berkata, beliau mempunyai alasan untuk membatalkan pendakwaan tersebut.

“Akta Hasutan adalah tidak sah dan terbatal kerana ia bertentangan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan dan pihak pendakwaan berniat jahat kerana terdapat “selective prosecution” yang jelas lagi nyata,” kata Shuhaimi.

Shuhaimi didakwa menerbitkan artikel bertajuk “Pandangan saya berasaskan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor 1959″ yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://srimuda.blogspot.com di Pusat Khidmat Rakyat, 6/2, Jalan Anggerik Vanilla R 31/R, Kota Kemuning, 30 Disember tahun lalu.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Shuhaimi yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN mencetuskan kontroversi berikutan kenyataan di blognya yang didakwa telah mempertikai keputusan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan pelantikan Datuk Mohamad Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) yang baru.


Sumber: Keadilan Daily

No comments: