Friday, April 1, 2011

Selangor Catat Sejarah Lulus Enakmen Kebebasan Maklumat

Friday, 01 April 2011 | Ruangan: Berita

SHAH ALAM 1 April - Kerajaan PR Selangor mencatat sejarah hari ini dengan meluluskan Bil Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) 2010 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri pagi tadi.

Exco Hal Ehwal Pelancongan, Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong Keat Ping dalam ucapannya berkata keputusan ini berpadanan dengan warga negeri yang dahagakan ketelusan dan keterbukaan di dalam urusan pentadbiran kerajaan.

“Usaha untuk membentangkan bil ini direalisasikan kerana keputusan para pengundi yang berani tampil mengundi untuk Pakatan Rakyat pada 8 Mac , 2008 lalu,” kata beliau.

Bil ini dibentangkan buat pertama kali pada 14 Julai, 2010 dan kemudiannya dihantar kepada Jawatankuasa Pemilihan mengenai Enakmen Kebebasan Maklumat (Selangor) 2010 di mana jawatankuasa ini telah menjalankan kajian yang menyeluruh, siri mesyuarat serta forum-forum awam bagi mendapatkan maklumbalas warga tempatan.

Ini juga adalah kali pertama kerajaan negeri Selangor menubuhkan satu jawatankuasa untuk menyemak sesuatu bil enakmen.

“Dalam sembilan bulan ini, badan-badan bukan kerajaan (NGO), wakil orang awam serta pekerja kerajaan telah memberikan cadangan dan maklumbalas bagi memperbaiki bil enakmen tersebut agar dapat digunakan,” kata Elizabeth.

Katanya lagi, kerajaan negeri telah mengambil serius kesemua maklumbalas dan cadangan ini kerana berpendapat pandangan umum adalah penting dalam merealisasikan pelaksanaan yang efektif.

Antara penambah baikkan yang dilakukan dalam bil enakmen tersebut adalah pertama, memastikan bil enakmen tersebut merangkumi pihak berkuasa tempatan serta entiti berkait kerajaan negeri, kedua menamakan kembali Badan Rayuan kepada Badan Maklumat Negeri dan ketiga adalah agar hukuman atau penalti juga disertakan di dalam bil bagi pihak yang cuba menghalang dari memberikan maklumat.

Elizabeth seterusnya menjelaskan masih terdapat kekangan dalam bidang kuasa kerajaan negeri dalam melaksanakan enakmen ini agar tidak bercanggah dengan perlembagaan persekutuan yang mana boleh diisytiharkan ‘ultra vires’ sekiranya bercanggah.

“Walaubagaimanapun, ini merupakan sesuatu yang dinamik dan satu undang-undang yang sah maka Dewan boleh terus mencadangkan dan melaksanakan pembaikan kepada enakmen ini dari masa ke semasa,” kata beliau lagi.

Sumber: Selangorkini

No comments: