PBT ambil alih tugas mulai Jun
SHAH ALAM - Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil alih sepenuhnya tugas pembersihan kawasan awam dari Alam Flora Sdn Bhd (Alam Flora) bermula akhir Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew berkata, pihaknya masih mengadakan mesyuarat dengan Alam Flora bagi menyelesaikan beberapa perkara sebelum mengambil alih tugas itu sepenuhnya.
Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengeluarkan arahan supaya PBT memulakan tugas dalam pembersihan awam akhir Jun ini.
“Hanya kerja-kerja pengutipan sampah diberikan kepada Alam Flora,” katanya pada sidang media di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), semalam.
Beliau berkata, PBT juga digesa menubuhkan pasukan bantuan khas untuk memastikan tugas pembersihan awam itu dapat dijaga dengan baik tanpa sebarang rungutan dari penduduk.
Katanya, ia juga akan memudahkan PBT memantau kontraktor yang tidak menjalankan tugas dengan baik dan kontraktor yang tidak berkesan serta cekap akan diberhentikan.
Ronnie berkata, kesemua PBT juga akan menubuhkan satu unit pemantauan baru iaitu melantik wakil persatuan penduduk untuk menjadi pemantau kualiti kerja kontraktor yang bertugas.
“Kita mensyaratkan kontraktor untuk mendapat tandatangan pemantau setempat sebagai satu syarat bahawa penduduk berpuas hati dengan kerja yang dilakukan.
“Sekiranya wakil penduduk tidak menandatangani sebanyak tiga kali, tindakan akan dikenakan termasuk mengurangkan tempoh kontrak, mengurangkan jumlah bayaran atau memecat kontraktor tersebut,” katanya.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri mengumumkan bahawa lima PBT akan bekerjasama bagi memastikan pengambilalihan kerja pembersihan daripada Alam Flora berjalan lancar.
Abdul Khalid berkata, kerja pembersihan itu bukan bidang tugas baru untuk PBT kerana pada asalnya kesemua kerja berkenaan berada di bawah kawal selia PBT sebelum tugas itu diambil alih Alam Flora 10 tahun lalu.
PBT terbabit ialah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.
Kerajaan Negeri melihat pembahagian tugas antara Alam Flora dan PBT dapat menjimatkan kos pengurusan sebanyak 10 peratus yang selama ini dikenakan oleh Alam Flora untuk pengendalian pengurusan pembersihan.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment