Loading...

Tuesday, July 17, 2012


Air Percuma : Noh Tabur Janji Kosong

256 views
Email
SHAH ALAM, 17 JUL : Datuk Seri Noh Omar sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor berhubung pemberian air percuma sekiranya Umno-BN menawan semula negeri itu dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Demikian selar Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar dalam satu kenyataan media.
Sambil menyifatkan kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu sebagai tidak berasas, Dr Xavier turut mengatakan ia adalah retorik politik yang dicetuskan Umno-BN.
Ini kerana menurutnya, Kerajaan Pusat melalui Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) akan menaikkan kadar tarif air sehingga 70 peratus kepada pengguna sebagai bayaran balik kepada dana yang diperolehi melalui pinjaman dari Japan International Cooperation Agency (JICA).
“Ekoran daripada pembinaan Langat 2 yang bernilai RM8.65 bilion, Kerajaan Negeri terpaksa membayar RM60 juta ‘royalti air’ setiap tahun kepada Pahang bagi mendapatkan air mentah tersebut.
“Walaupun dana keseluruhannya ditanggung sepenuhnya oleh Kerajaan Pusat, tetapi sumber dana itu adalah melalui pinjaman syarikat JICA. Sekiranya kenaikan air tersebut berlaku, di mana rasionalnya untuk memberikan 20 meter padu air percuma kepada rakyat Selangor dan pengguna-pengguna yang lain?” soalnya.
Tambahnya, Syabas juga dilihat tidak mampu mengorbankan keuntungannya sebagai syarikat korporat swasta yang berorientasi ‘keuntungan’ bagi melaksanakan tujuan tersebut.
Katanya lagi, Syabas juga dilaporkan menanggung hutang bernilai RM2.8 bilion kepada operator loji rawatan air.
“Dalam keadaan kewangannya yang meruncing ini, maka adalah sukar untuk Syabas memberikan air percuma. Jadi berdasarkan fakta-fakta ini, jelaslah Noh hanya bercakap kosong dan sekadar menabur gula-gula politik bagi mengaburi mata rakyat Selangor,” ujarnya.
Noh yang juga Timbalan Pengerusi BN Selangor sebelum ini mendakwa Umno-BN tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula negeri itu melalui pendekatan berbeza demi kepentingan rakyat.
Beliau mendakwa, jika dasar itu dilaksanakan, ia akan dibuat dengan lebih menyeluruh termasuk menambah bilangan meter padu air percuma dan memastikan seluruh rakyat Selangor menikmatinya

No comments: