Wednesday, July 25, 2012

CATUAN AIR HANYA GIMIK POLITIK

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin  bahawa tiada keperluan untuk membuat catuan air di Selangor dan Kuala Lumpur buat masa sekarang jelas  membuktikan isu air dijadikan gimik politik untuk menimbulkan prasangka buruk terhadap kerajaan Selangor.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) pula menjadi alat UMNO untuk mengugut Kerajaan Selangor supaya memberi kelulusan pembinaan Loji Pembersihan Air Sungai Langat atau Langat 2.

Kerajaan Pusat sebenarnya tiada pun penyelesaian kukuh dalam menambahbaik bekalan dan pengurusan air terawat. Malah, mereka cuba mensabotaj usaha Kerajaan Selangor melakukan perkara yang betul demi melindungi kepentingan rakyat.

Kerajaan Pusat tiada perancangan bagaimana Langat 2 akan menyelesaikan kekurangan air sedangkan Kerajaan Negeri telah menyediakan pelan menerusi projek mitigasi air bernilai RM225 juta. Justeru, perlu ada jawatankuasa bebas yang akan menentukan projek mana yang lebih efektif menyelesaikan kekurangan air terawat tetapi pada kos murah.

Kerajaan Pusat Barisan Nasional perlu mengakui kesilapan ketika menandatangani Perjanjian Penswastaan Air pada 2004 dan kesilapan itu tidak boleh diperbetulkan sehingga sekarang.

Kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk mengambil alih SYABAS mengikut Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).  Keputusan Kerajaan Pusat untuk menghalang usaha ini jelas menunjukkan Kerajaan BN lebih menyebelahi syarikat korporat yang ada kaitan langsung dengan UMNO bukannya melindungi kepentingan rakyat.

Kita menyeru rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempertahankan hak mereka dan mengelak dimanipulasi pihak berkepentingan yang mahu mengaut keuntungan atas kos yang ditanggung rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Khas Kabinet, Muhyiddin, sebenarnya tiada pengalaman dan tidak menyumbangkan sebarang idea bernas dalam pengurusan air. Malah, ketika beliau menjawat Menteri Besar Johor, beliau telah menjadikan tariff air di negeri itu antara tertinggi di negara ini.

Ada juga usaha untuk menswastakan air kepada syarikat korporat MMC Corporation yang dimiliki Syed Bulkhari dan ini sudah tentu akan meningkatkan beban rakyat. Rakyat Johor berdepan dengan tariff air pada kadar tidak munasabah dan tidak mungkin menerima air percuma seperti di Selangor.

Kerajaan Barisan Nasional mungkin mahu menggadaikan hak rakyat Johor, tetapi kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor tidak akan berdiam jika ada pihak yang mengambil untung atas kesusahan rakyat.

YB ELIZABETH WONG
EXCO KERAJAAN NEGERI SELANGOR


Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: