Tuesday, July 17, 2012


Kegagalan Syabas Jejaskan Pelaburan Ke Dalam Selangor

28 views
Email
SHAH ALAM 17 JULAI : Perkhidmatan bekalan air yang tidak memuaskan oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menyebabkan Selangor kehilangan 60 projek pelaburan.
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai senarai pelabur yang mana projek pembangunan mereka terjejas akibat kelemahan Syabas.
“Kita ada senarai, sebanyak 60 pelabur. Perkara itu kita sudah sediakan untuk dijawab dalam Sidang Dewan Negeri,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Seminar ‘Vibrant Selangor’ 2012 di SACC, di sini.
Katanya, ekoran kegagalan Syabas itu, Kerajaan Negeri terpaksa mengambil alih dan menyelesaikan masalah pengurusan industri air di bawah Syabas.
“Syabas hanya sebuah syarikat bukan pihak berkuasa. Mereka tidak boleh memberi sebarang keputusan atau kelulusan tetapi Kerajaan Negeri. Itu termaktub dalam perjanjian konsesi,” katanya.
Beliau berkata surat rasmi bagi pengambilalih itu telah dihantar kepada Syabas dan Kerajaan Pusat semalam.
“Kita juga memberi tempoh dua minggu kepada mereka. Ini dilakukan atas dua sebab, iaitu Syabas gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) dan Syabas juga mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air,” jelasnya.
Semalam, Abdul Khalid memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri mempunyai hak untuk mengambil alih pengurusan operasi Syabas.
Menurutnya, tindakan itu dibuat menggunakan kuasa di bawah Klausa 32 dalam perjanjian konsesi.
Kerajaan Negeri juga bersedia mengambil tindakan mahkamah terhadap Kerajaan Pusat sekiranya ia tidak membenarkan Kerajaan Negeri mengambil alih operasi Syabas.
Abdul Khalid turut mendedahkan laporan awal audit yang mendapati Syabas gagal melaksanakan kerja-kerja capex (capital expenditure) mereka dengan baik.
“Ini jelas ditunjukkan apabila Syabas setakat bulan April 2012, mempunyai tanggungan jumlah tertunggak kepada operator rawatan air dianggarkan sebanyak RM2.8 bilion. Syabas juga gagal menurunkan kadar air tidak terhasil (non-revenue water) kepada 20%,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau memutuskan untuk meminta Setiausaha Kerajaan Negeri bersama Pengawal Selia Air Negeri untuk memantau perkhidmatan air oleh Syabas.

No comments: