Loading...

Saturday, July 21, 2012

Talam: Anwar pertahan MB S’gor

K.Azmin| July 19, 2012 
Isu ini berpunca daripada Khir Toyo yang bertindak menjual beribu ekar tanah Selangor kepada Talam namun gagal membayar premium tanah. 

KLANG: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan tindakan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membeli Talam Corporation Bhd (Talam) walaupun syarikat itu dihimpit dengan bebanan hutang berjuta ringgit.

Menyifatkan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor paling berkaliber kerana bijak menguruskan ekonomi negeri, Anwar berkata Khalid tidak

patut dipersalahkan apabila Selangor terpaksa menanggung RM392 juta hutang Talam.


Katanya, isu ini sebenarnya berpunca daripada bekas Menteri Besar Dr Mohd Khir Toyo yang bertindak menjual beribu ekar tanah Selangor

kepada Talam namun gagal membayar premium tanah walaupun mendapat geran yang sah sehingga menyebabkan hampir dilelong bank.


“Tan Sri Khalid urus ekonomi dalam empat tahun ni tiada tolok tandingnya dengan mana-mana Menteri Besar sebelumnya.

“Khalid terpaksa hutang RM400 juta untuk ambil balik nak selamatkan (tanah daripada dilelong) kamu kata dia jahat.

“Tapi (individu) yang jual tanah itu kamu lupa…ini zaman edan,” katanya dihadapan kira-kira 3,000 penyokong dalam Ceramah Merdeka Rakyat di Jalan Kebun di sini malam tadi.

Pentadbiran Khalid kini dihimpit dengan tekanan isu menguruskan penstrukturan hutang Talam membabitkan jumlah nilai sehingga RM1 bilion.

Ketua Umum PKR itu turut menegaskan pentingnya peranan anak muda menangani politik kotor, zalim dan menolak sistem pentadbiran yang mengamalkan rasuah.

Katanya, anak muda tidak seharusnya mudah terpedaya dengan habuan wang ringgit yang ditaburkan untuk menjalankan kerja politik kotor pihak lawan.

“Jangan kerana RM20 maki orang, baling batu. Saya pergi Johor kereta kena, saya pergi Lembah Pantai kena baling batu…anak muda (dengan hanya) RM20 khianat semangat perjuangan.

Pencacai rasuah

 
“Ini laskar upahan Umno yang cukup rendah akhlaknya. Apa yang hebat kalau anak muda tidak berani menyatakan yang benar kalau jadi perkakas dan pencacai rasuah,” katanya.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu turut berpendirian untuk terus mempertahankan hak dan agama semua kaum sekiranya Pakatan Rakyat memerintah sekaligus menepis dakwaan pihak lawan yang bimbang negara ini akan hilang kedaulatan sebagai negara Islam dan hak Bumiputera.

“Pemimpin ambil bilion ringgit dan jadikan kita kuli, orang hina kaum kita, hina agama, pecahbelahkan rakyat.

“Pergi kepada masyarakat Cina dakwa Islam PAS merbahaya buat mereka. Pergi kepada masyarakat Melayu pula kononnya kuasa kepentingan Melayu akan terhakis…sebenarnya yang merampas itu pimpinan saudara.

“Adakah kerana saya ingin jadi Perdana Menteri saya sanggup gadaikan hak Melayu dan kepentingan Islam? Tidak sama sekali,” katanya.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda Suhaimi Shafiei yang merupakan tuan rumah bagi program ini.


Turut hadir berceramah Ahli Parlimen Machang Datuk Saifuddin Nasution, Ahli Parlimen Kota Raja Dr Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching, Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar dan bekas Adun Pulau Manis, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Dianggarkan sekitar 4000 penduduk berhampiran hadir mendengar ceramah ini. Kedatangan Anwar merupakan kali pertama ke dalam kawasan "Lubuk Reformasi" ini sejak dibebaskan dari tahanan penjara di Sungai Buloh.  Kampung Jalan Kebun terkenal kerana disinilah pusat perhimpunan 100,000 rakyat kali pertama diadakan pada 25 Oktober 2000 dimana polis menahan sekitar 120 orang yang terlibat menganjurkan program itu.

Suasana ceramah malam tadi turut berlangsung dengan aman tanpa sebarang gangguan walaupun sebelum itu terdapat khabar angin kebimbangan akan berlakunya provokasi daripada kumpulan ‘samseng Jalan Kebun’ yang sebelum ini mengganggu ceramah anjuran NGO Asal Bukan Umno (ABU) dan Hindraf.

No comments: