Tuesday, July 24, 2012

K’jaan S’gor digesa beli Syabas


Fazy Sahir | July 23, 2012 
 
Ini kerana syarikat itu cuba mensabotaj kerajaan negeri dengan mewujudkan krisis air bagi menakut-nakutkan rakyat Selangor.

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menggesa kerajaan negeri mengambil alih pengurusan dengan membeli saham-saham Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) berikutan ‘krisis air’ yang dipercayai telah dicipta oleh pihak tertentu.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimie Shafie mendakwa syarikat itu cuba mensabotaj kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat dengan mewujudkan krisis air bagi menakut-nakutkan rakyat negeri ini.

“Kita minta kerajaan negeri suntik wang dan beli Syabas. Tindakan segera perlu diambil kerana Syabas cuba mensabotaj dan memburuk -burukkan kerajaan negeri,” katanya di hadapan kira-kira 100 demonstran yang berkumpul di Wisma Rozali di sini tengah hari tadi.

Mereka yang berkumpul sejak jam 12.00 tengah hari bergerak ke pintu utama Wisma berkenaan untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap cadangan Syabas untuk mencatu air di beberapa kawasan di Selangor.

Memorandum itu diserahkan kepada Pengerusi Eksekutif Syabas, Tan Sri Rozali Ismail melalui Pengarah Eksekutif Pengurusan dan Sumber Manusia, Ismail Hashim.

Demonstrasi yang diadakan pada hari ketiga Ramadhan ini dianjurkan bersama AMK Selangor dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Selangor.

Kerajaan negeri sebelum ini bercadang untuk memecat Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Syabas kerana gagal memberikan penjelasan berhubung catuan air yang diumumkan syarikat itu baru-baru ini.

Selain Shuhaimie, mereka yang turut serta bagi menyerahkan memorandum itu ialah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Timbalan Presiden PKR Selangor, Zuraida Kamarudin; Naib Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri dan exco kerajaan negeri, Ronnie Liu.


No comments: