Friday, April 2, 2010

Hulu Selangor: Penamaan 17 April, Undi 25 April

Suruhanjaya Pilihan Raya sebentar tadi mengumumkan pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor ditetapkan pada Ahad, 25 April.

Menurut pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, penamaan calon pula ditetapkan pada Sabtu, 17 April.

Beliau membuat pengumuman itu selepas mengadakan mesyuarat selama dua jam di pejabatnya di Putrajaya.

Katanya, SPR menerima pemakluman kekosongan kerusi Hulu Selangor pada 29 Mac oleh speaker Dewan Rakyat.

Writ pilihan raya akan dikeluarkan hari ini - 2 April dan notisnya pula akan dikeluarkan tiga hari selepas itu.

SPR juga mengumumkan pelatinkan pegawai daerah Hulu Selangor, Nor Hisham Ahmad Dahalan sebagai pegawai pengurus pilihan raya dan tujuh orang pembantunya.

Abdul Aziz berkata, Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan telah mensyaratkan supaya kekosongan kerusi yang berlaku perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.

Katanya, Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Pejabat Daerah Hulu Selangor akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi sementara pusat mengundi akan melibatkan 46 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai dengan 146 saluran mengundi.

Kawasan pilihan raya parlimen Hulu Selangor itu mempunyai 64,500 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 63,701 pengundi biasa dan 799 pengundi pos.

Katanya 32,380 pengundi terdiri daripada pengundi lelaki manakala 32,120 adalah wanita.

Daripada jumlah tersebut, Abdul Aziz berkata kaum Melayu merupakan pengundi majoriti dengan 34,020 pengundi atau 52.7 peratus manakala kaum Cina dan India masing-masing mencatatkan bilangan 16,964 atau 26.3 peratus dan 12,453 atau 19.3 peratus.

Mengenai undi pos, beliau berkata ia mungkin diadakan dua hari sebelum hari mengundi dan proses pengeluaran dan pengiraan undi pos akan dilakukan di Pejabat Daerah Hulu Selangor.

Beliau juga berkata SPR akan menubuhkan enam pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) mengikut Seksyen 27B AKta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen dari hari penamaan calon sehingga tamat hari pengundian.

Kerusi Hulu Selangor kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad pada 25 Mac lalu akibat barah otak.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G.Palanivel yang juga merupakan Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.

Kematian Zainal Abidin dilihat ramai penganalisis memburukkan lagi keadaan di PKR yang baru-baru menghadapi masalah apabila tiga ahli parlimennya berpaling tadah manakala seorang lagi dipecat.

Bagaimanapun, kekosongan kerusi Hulu Selangor juga bukan berita gempira bagi Barisan Nasional yang menghadapi dilema untuk mencari calon yang sesuai.

Sejak kematian bekas timbalan menteri besar Selangor itu, Umno berusaha keras untuk melobi kerusi itu yang secara tradisinya diserahkan kepada sekutunya, MIC.

Malaysiakini

No comments: