Wednesday, April 14, 2010

Lantik Anwar bukti MB tidak mampu urus kewangan negeri - Ee Wah

SHAH ALAM 13 April - Seorang wakil pembangkang membidas tindakan kerajaan negeri melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penasihat ekonomi kerana langkah itu jelas menunjukkan kepimpinan pakatan pembangkang tidak mampu menguruskan ekonomi negeri.

Yap Ee Wah (BN-Sungai Pelek) berkata, pelantikan orang luar untuk menasihat Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berhubung soal kewangan dan ekonomi dilihat suatu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negeri.

Tambahnya, pelantikan Anwar itu tidak akan membawa apa-apa perubahan kepada pertumbuhan ekonomi negeri memandangkan bekas Menteri Kewangan itu sebenarnya bukan orang yang mahir dalam ekonomi dan kewangan.

"Pelantikan Anwar dengan gaji RM1 sebulan adalah bertujuan politik yang dibuat hanya untuk mengukuhkan cengkaman beliau di Selangor.

"Malah, pelantikan Anwar juga jelas menunjukkan Menteri Besar tidak mampu menjadi guru ekonomi di negeri kita sehingga memerlukan nasihat orang luar," katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Ekoran tidak berpuas hati dengan kenyataan itu, Shuhaimi Shafie (PKR-Seri Muda) kemudiannya bangkit mencelah dan meminta Ee Wah supaya menarik balik kenyataannya itu.

Bagaimanapun, Ee Wah kemudiannya meneruskan ucapannya dan mendakwa Anwar sebelum ini telah menerima bulat-bulat nasihat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia pada 1998 sehingga menyebabkan suasana ekonomi negara bertambah teruk.

Sebaliknya, kata beliau, pemulihan ekonomi negara dilakukan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang telah melaksanakan pelbagai pelan pemulihan termasuk mewujudkan kawalan mata wang.

"Jadi MTEN yang memulihkan ekonomi negara, bukan Anwar yang dilihat hanya memusnahkan ekonomi negara," ujarnya.


Sumber: Utusan

No comments: