Wednesday, May 4, 2011

Fw: SELANGOR TUBUH KUMPULAN WANG TABUNG WARISAN BENCANA ALAM


KENYATAAN AKHBAR

4 MEI 2011

SELANGOR TUBUH KUMPULAN WANG TABUNG WARISAN BENCANA ALAM

 

Kerajaan Selangor menubuhkan Kumpulan Wang Tabung Warisan Bencana Alam  (TWBA) Negeri Selangor dengan suntikan awal dana sebanyak RM10 juta bertujuan  membantu Kerajaan Negeri menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam.

 

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata TWSA ini ditubuhkan mengikut Seksyen 10 Subseksyen 4 (b), Akta Tatacara Kewangan 1957 yang membolehkan ia menjana dananya sendiri menerusi pelbagai medium pelaburan untuk digunakan berkaitan tujuan penubuhannya.

 

"Kerajaan Negeri akan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta dalam tempoh lima tahun. Suntikan awal TWBA akan diberikan sebanyak RM10 juta untuk tahun ini menerusi peruntukan Kerajaan Negeri dalam bentuk geran pelancaran (launching grant).

 

"Manakala baki dana tersebut akan diberikan dalam tempoh 2012 hingga 2015 sebanyak RM10 juta setahun," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), hari ini.

 

Tan Sri Abdul Khalid berkata, peruntukan tambahan diperlukan kerana dana awal sebanyak RM10 juta ini tidak diperuntukkan dalam Bajet 2011.

 

"Kita akan meminta kelulusan untuk mengadakan peruntukan tambahan pada sidang Dewan Negeri Selangor yang akan bersidang pada Julai akan datang," katanya.

 

Menteri Besar berkata, TWBA akan membantu Kerajaan Negeri menampung perbelanjaan mangsa-mangsa bencana alam menggunakan keuntungan dan lebihan yang dijana daripada dana permulaan yang disuntik TWBA.

Bagaimanapun, dana ini hanya boleh dikeluarkan bagi tujuan sumbangan kepada bencana alam selepas lima tahun iaitu hanya pada 2016 bagi membolehkan dana ini dilaburkan untuk mendapatkan pulangan sewajarnya.

 

Menteri Besar berkata, matlamat utama TWBA ditubuhkan bertujuan mengasingkan wang perolehan, keuntungan dan lebihan yang ada untuk digunakan dan dinikmati generasi akan datang khususnya perkara yang melibatkan bencana alam.

 

Tan Sri Abdul Khalid berkata, ketika ini Kerajaan Selangor mempunyai tabung untuk mangsa bencana alam iaitu Kumpulan Wang Amanah Bencana Alam yang ditadbir oleh Penbendaharaan Negeri Selangor dengan siling sebanyak RM8 juta.

 

Bagaimanapun, penggunaannya amat terhad dan terikat dengan Arahan Amanah dan tidak boleh dilaburkan atau digunakan untuk tujuan lain selain yang ditetapkan dalam Akaun Amanah.

 

Menteri Besar berkata, TWBA boleh menerima sumbangan dari individu dan syarikat yang mahu menjalankan tanggung jawab sosial korporat (CSR) dengan mendapat pengecualian cukai seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

 

Dalam perkembangan lain, Tan Sri Abdul Khalid berkata, MMKN hari ini juga memperakukan keputusan Kerajaan Negeri untuk mewartakan tanah seluas 19 ekar di Taman Subang Ria, Subang Jaya, sebagai rekreasi awam.

 

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR 


--
Sekretariat Akhbar
Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor
Tel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686
www.selangorkini.com.my
www.tvselangor.com
http://www.youtube.com/user/mbselangor

No comments: