Loading...

Saturday, May 14, 2011

Video seks: VCD diedar di ceramah, PKR desak pendirian PDRM

May 14, 2011

KUALA LUMPUR, 14 Mei – PKR Selangor menggesa polis menjelaskan pendirian pihaknya ekoran tindakan pihak-pihak tidak bertanggungjawab menyebar VCD rakaman video seks, yang didedahkan “Datuk T” Mac lalu, ketika ceramah “Jelas - Tawan Malaysia!” anjuran parti itu, malam tadi.

The Malaysian Insider difahamkan VCD itu diedarkan ketika ceramah-ceramah anjuran Pakatan Rakyat khususnya PKR di seluruh negara sejak awal minggu lalu.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar berkata, rakaman video seks, yang si pelakunya didakwa mirip Anwar, adalah tulen setelah mendapat input pakar pengimejan video Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun beliau berkata, tiada keperluan undang-undang untuk mendedahkan si pelaku video terbabit.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, ceramah “Jelas – Tawan Malaysia!” di Kampung Jalan Kebun dan Kampung Melayu Subang malam tadi telah dicemari dengan pengedaran VCD lucah dan poster propaganda bergambarkan wajah Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia diletakkan pada cermin kereta hadirin ceramah kedua-dua dua lokasi terlibat, kata Shuhaimi sambil menyifatkannya “mainan politik kotor tidak bertanggungjawab yang amat dikesali.”

“Hasil laporan yang saya terima daripada ahli-ahli parti yang memantau keselamatan serta berada di ceramah kempen Jelas – Tawan Malaysia malam semalam, jelas menunjukkan selain gurkha upahan Umno-BN, sebilangan kecil dipercayai anggota risikan PDRM turut bersubahat dalam aktiviti jijik ini.

“Mengapakah PDRM sanggup menggadai maruah institusi PDRM dek kerana tunduk pada arahan jelek pemain politik yang akhirnya bersekongkol dalam penyebaran VCD lucah ini?” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

“Saya cabar PDRM untuk jelaskan dan bersihkan nama sekiranya tidak terlibat dalam pengedaran VCD lucah ini,” kata beliau.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda menambah, rakyat ingin tahu bagaimana VCD yang dikatakan asli dan hanya ada satu keping dalam simpanan polis boleh terlepas sehingga disebarkan di Internet dan kemudian diapungkan oleh blog-blog pro-Umno dan BN dan seterusnya disebar secara fizikal.

Pada akhir Mac lalu, trio “Datuk T” yang disoal siasat PDRM telah menyerahkan rakaman video seks itu kepada pihak berkuasa itu.

“Mana mungkin ia boleh terlepas dari kawalan PDRM dan disebarkan di ceramah-ceramah jika tidak ada kaitan dengan subahat polis? Ini yang menyebabkan rakyat tertanya-tanya dan hilang kepercayaan kepada PDRM,” katanya.

Awal bulan lalu, klip rakaman aksi seks disebarkan menerusi Internet dan polis berjanji akan menyiasat siapa yang bertanggungjawab ke atas tindakan memuat naik bahan itu.


Sumber: Malaysian Insider

No comments: