Friday, May 20, 2011

KENYATAAN AKHBAR 20 MEI 2011 MENTERI BESAR SELANGOR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG!

KENYATAAN AKHBAR

20 MEI 2011

MENTERI BESAR DESAK KDN DAN HISHAMMUDDIN  AMBIL TINDAKAN SEGERA TERHADAP ADUN KUANG

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menulis surat kepada Menteri Dalam Negeri,  Dato' Seri Hishammudin Tun Hussein bagi mendesak kementerian itu mengambil tindakan segera terhadap ADUN Kuang, YB Abdul Shukor Idrus.

Abdul Shukor yang juga Ketua Penerangan UMNO Selangor telah mengaku secara terbuka memiliki dan mengedar akhbar haram, Selangor Terkini sekali gus melanggar Seksyen 5 (1) dan (2) Akta Penerbitan Mesin Cetak 1984.

Dalam surat yang dihantar kepada Hishammuddin bertarikh 13 Mei,

 Menteri Besar kesal kerana KDN dan Hishammuddin tidak berbuat apa-apa walaupun laporan polis telah dibuat terhadap Abdul Shukor dan Selangor Terkini.

Beliau berkata, kegagalan KDN dan Hishammuddin menyiasat menyebabkan Peguam Negara tidak boleh bertindak termasuk mendakwa Abdul Shukor kerana tiada hasil siasatan yang dikemukakan untuk tindakan lanjut.

Dalam surat balas kepada Menteri Besar bertarikh 21 Mac, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail  memaklumkan bahawa KDN belum mengemukakan sebarang hasil siasatan untuk pertimbangan.

"Kegagalan KDN dan Hishammuddin bertindak secara efisien menyebabkan akhbar haram ini dicetak dan diedar di Selangor tanpa sebarang sekatan. Saya percaya ia didalangi orang yang sama kerana muka ADUN Kuang terpampang di muka depan akhbar haram ini," kata Menteri Besar.

Tan Sri Abdul Khalid sekali lagi mendesak KDN dan Hishammuddin menjalankan siasatan kerana laporan kedua telah dibuat pada 6 Mei lalu terhadap Selangor Terkini selepas dua individu ditangkap ketika mengedarkan akhbar haram ini secara terbuka.

"Saya mengesa Hishammuddin memainkan peranan sebagai Menteri Dalam Negeri dengan lebih berkesan, amanah, bertanggungjawab dan menjangkaui ideologi politik supaya keadilan dapat ditegakkan dan pihak yang didapati bersalah menerima hukuman setimpal," kata Menteri Besar.

Dikeluarkan oleh

SEKRETARIAT AKHBAR

PEJABAT DATO' MENTERI BESAR SELANGOR


--Sekretariat AkhbarPejabat Dato' Menteri Besar SelangorTel: 03 5544 7452 Fax: 03 5510 9686www.selangorkini.com.mywww.tvselangor.comhttp://www.youtube.com/user/mbselangor
Sent from my BlackBerry® wireless device via Vodafone-Celcom Mobile.

No comments: