PKR Selangor Seru Kerajaan Negeri Beku Segera Projek Tepi Lereng Bukit
Sunday, 22 May 2011 | Ruangan: Berita
SHAH ALAM 22 Mei - Parti Keadilan Rakyat Selangor menggesa kerajaan negeri untuk membekukan serta merta aktiviti berhampiran kawasan yang berstruktur lemah dan lereng bukit untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Ketua Penerangannya, Shuhaimi Shafie berkata, kejadian lalu haruslah dijadikan iktibar apabila beberapa tragedi menyayat hati berlaku dan banyak nyawa yang terkorban.
“KEADILAN Selangor sedar, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor sudah mengambil inisiatif supaya kawalan lebih ketat dalam meluluskan sebarang aktiviti dan pembangunan di kawasan lereng bukit yang mempunyai potensi untuk berlakunya tanah runtuh dan bencana runtuhan,” katanya.
“Namun terdapat rungutan melampau apabila ia mula dilaksanakan. Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor perlu mengambil serius isu ini kerana ia melibatkan belasan nyawa yang terkorban dan kerosakan harta benda disamping perubahan ekologi persekitaran.
“(Bahkan) jika dikaji memang ada kelemahan dan ketidakcekapan pentadbiran kerajaan negeri terdahulu menyebabkan banyak pembangunan yang diluluskan tanpa kawalan ketat dari segi keselamatannya dan inilah masanya Kerajaan Negeri Selangor sekarang bertindak tegas,” tambahnya lagi.
Negara semalam dikejutkan dengan berita menyedihkan apabila 16 anak yatim termasuk seorang petugas Rumah Anak-anak yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat maut dalam runtuhan tanah kira-kira 2.30 petang semalam.
Justeru beliau mewakili KEADILAN Selangor merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seluruh tenaga pengajar dan anak-anak yatim yang terkorban dalam tragedi berkenaan.
Beliau juga menggesa insiden sedih ini tidak dijadikan medan politik untuk berkempen.
“Marilah kita berjiwa besar berganding bahu bersama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor dan pihak keselamatan di peringkat kerajaan Persekutuan bersama-sama membantu mangsa kejadian tanah runtuh ini. Pihak Polis perlulah memberi kerjasama baik kepada wakil kerajaan Negeri yang hadir ke kawasan runtuhan setiap hari bagi membantu menyelaras bantuan,”ujar beliau.
Semalam, tindakan pihak polis menyekat EXCO Kerajaan Negeri Selangor menghampiri kawasan runtuhan, pada masa sama membenarkan pimpinan Umno dan wakil kerajaan Pusat masuk ke kawasan runtuhan adalah tindakan yang tidak wajar.
Dalam keadaan bencana seperti itu, semua pihak seperti Majlis Tempatan, BOMBA, Polis, Jabatan Kerja Raya dan semua agensi milik kerajaan Negeri dan Pusat mempunyai tugas berat dan digesa berkerjasama bagi menyelamatkan mangsa dan Kerajaan Negeri punyai tanggungjawab lebih besar membantu mangsa.
No comments:
Post a Comment