Ancaman Perkasa ‘perkara kecil’, himpunan Bersih diteruskan
Mat Sabu menegaskan perhimpunan Bersih ini akan diadakan secara aman dan berpendapat Perkasa sepatutnya mengadakan perhimpunan pada hari yang berbeza.
KLANG: Perhimpunan aman oleh Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) tetap diteruskan 9 Julai ini walaupun Pertubuhan
Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut memberi ancaman dengan menganjurkan protes serentak pada hari tersebut.
Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata ancaman Perkasa hanya ‘perkara kecil’, namun beliau enggan membayangkan perkara tidak diingini akan berlaku jika terjadi pertembungan di antara kedua-dua kumpulan itu.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menegaskan perhimpunan Bersih ini akan diadakan secara aman, dan berpendapat Perkasa sepatutnya mengadakan perhimpunan pada hari yang berbeza.
“Kita bukan timbulkan apa-apa, kita hanya berhimpun secara aman. Tiada provokasi dan tiada apa-apa akan berlaku. Kita minta agar polis menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan rakyat.
“Jika ada sesiapa yang mencetuskan provokasi maka pihak polis perlu bertindak segera dan bukan ke atas peserta himpunan aman,” katanya selepas pelancaran Bersih 2.0 peringkat negeri Selangor di Dewan Hamzah di sini malam tadi.
Turut hadir pada majlis pelancaran itu termasuklah pimpinan Pakatan Rakyat Selangor iaitu Pesuruhjaya PAS Dr Rani Osman, Ketua Penerangan PKR Shuhaimi Shafie dan Naib Pengerusi DAP Charles Santiago.
Ujar beliau, “Perkasa ini……. hanya perkara kecil malah mereka sebenarnya boleh pilih hari lain. Inikan negara demokrasi. Jika ada ahli yang nak turut serta tidak jadi masalah.
“Maka kita serah kepada polis. Insya’Allah tidak akan berlaku provokasi dan kita meminta polis mengambil tindakan terhadap mereka yang mengundang perkara tidak diingini,” katanya.
‘Tiada senjata dan provokasi’
Beliau turut mengingatkan para peserta himpunan agar tidak membawa bendera parti politik mahupun senjata bagi mengelak tercetusnya ketegangan.
“Saya minta peserta yang hadir hanya membawa bendera Malaysia dan bendera negeri bukan bendera parti politik, slogan juga mesti slogan Bersih 2.0, jangan bawa senjata, kalau ada provokasi jangan dilayan sebab kita berhimpun secara santai.
“Tujuan kita bukan nak kecam sesiapa tapi hanya mahukan pilihan raya yang adil dan bebas, kalau tiada perubahan…… negara akan menjadi lebih teruk,” katanya.
Sementara itu, para pemimpin Pakatan Rakyat terus menggesa rakyat Selangor untuk turut serta dalam perhimpunan yang dianggarkan akan disertai 300,000 orang.
Shuhaimi mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih telus dan bukan memihak dengan membantu memberi kemenangan kepada Umno-Barisan Nasional (BN).
“Kita mahu SPR lebih telus dalam mengendalikan pilihan raya,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda. Charles yang juga Ahli Parlimen Klang berkata himpunan Bersih memberi mesej jelas kepada rakyat agar pemerintahan sedia ada ditukar.
“Mengapa himpunan Bersih 2.0 ini harus berjaya? Sebab kita mahu beri mesej kepada rakyat agar menukar kerajaan sekarang,” katanya.
Dr Rani pula mencabar Perkasa sambil mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli Umno-BN dalam perhimpunan itu.
“Kalau Perkasa kata mahu turut mengadakan perhimpunan kita bersedia dan kita akan buktikan siapa yang lebih perkasa daripada Perkasa,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Meru.
No comments:
Post a Comment