Thursday, June 9, 2011

PRU-13: PKR lancar kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

June 09, 2011

KUALA LUMPUR, 9 Jun – Bagi memastikan Pakatan Rakyat terus menerajui Selangor, PKR negeri itu merancang strategi berkesan – melancarkan kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia fasa dua – menyasarkan kemenangan di kerusi-kerusi dimiliki BN pada pilihan raya umum ke-13.

Menurut Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei, selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) milik BN.

“Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi dan berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

“PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketika ini Pakatan Rakyat memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula Pakatan Rakyat memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu sudah bersedia untuk menawan balik negeri itu dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 30 kerusi DUN.

Kata Shuhaimi, PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan daripada statistik dan kajian dilakukan parti itu.

“Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.

“Selain itu, PKR Selangor juga telah melatih jentera pilihan raya yang tersusun untuk menyebarkan maklumat kepada rakyat khususnya di Parlimen Hulu Selangor dalam rangka menawan kembali kerusi itu yang ditawan BN pada pilihan raya kecil 25 April 2010,” katanya.

Tambah Adun Sri Muda itu, PKR Selangor juga akan membantu PAS dan DAP untuk memenangi tiga kawasan majoriti orang Melayu iaitu di Parlimen Sungai Besar, Tanjong Karang dan Sepang.

Untuk memastikan hasrat itu tercapai, jelas Shuhaimi, parti itu akan melancarkan gerak kerja pilihan raya bermula 11 Jun ini sehingga Julai depan.

“PKR Selangor akan melancarkan kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia fasa dua dan pelancaran jentera pilihan raya PKR Selangor pada 11 Jun ini di Tanjong Karang.

“PKR memilih Tanjong Karang sebagai destinasi pertama kerana ia adalah kawasan Parlimen Datuk Seri Noh Omardan kami yakin pelancaran ini akan memberi tamparan hebat kepada beliau dan seluruh jentera Umno-BN khususnya yang masih bercakaran sesama sendiri,” katanya.

Tambah Shuhaimi, beliau percaya rakyat Selangor akan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada pilihan raya ke-13, yang disebut-sebut akan diadakan dalam tempoh terdekat.


Sumber: Malaysian Insider

No comments: