Loading...

Friday, June 10, 2011

Ubahsuai rumah RM6.5 juta, gaji MB lapan tahun pun belum mampu- Shuhaimi

KUALA LUMPUR: Belanja RM6.5 juta yang digunakan mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo untuk mengubahsuai kediaman mewahnya, tidak akan mampu ditanggung meskipun beliau menjawat jawatan itu lapan tahun berturut-turut.

Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, pendedahan itu menunjukkan kekayaan dan jumlah aset melampau yang dimiliki Khir, sekaligus mengambarkan pentadbiran Umno yang korup.

“Kalau ikutkan gaji yang diterima oleh Menteri Besar lebih kurang RM35, 000 sebulan, walaupun beliau memegang jawatan itu tujuh hingga lapan tahun, namun dengan jumlah sebanyak RM6.5 juta yang dikeluarkan secara tunai meragukan kita.

“Ini gambaran bahawa pentadbiran Umno selama ini berlaku kebobrokan,” ujarnya yang juga Adun Seri Muda.

Dalam pada itu, Shuhaimi berkata, beliau percaya Khir Toyo menjadi mangsa kambing hitam pimpinan Umno Selangor sendiri, iaitu Datuk Noh Omar yang kini menjadi Timbalan Pengerusi Umno Selangor.

“Ini semua satu perangkap yang dipasang Noh serta rakan pimpinan Umno Selangor dan mangsa yang dikambing hitam ialah Khir,” kata Shuhaimi ketika dihubungi Keadilandaily.com.

Dalam perbicaraan kes rasuah membabitkan Khir semalam, mahkamah didedahkan bahawa beliau membelanjakan RM6.5 juta bagi mengubahsuai rumahnya seperti diberitahu pereka lanskap yang membuat kerja pengubahsuaian berkenaan.

Bayaran itu dibuat secara ansuran sebanyak lima kali dan dibayar dengan tunai.

Khir dihadapkan ke mahkamah pada 6 Disember tahun lalu atas tuduhan rasuah kerana membeli harta berupa tanah dan rumah banglo di Seksyen 7, Shah Alam di bawah harga pasaran daripada Pengarah Ditamas, Shamsudin Haryoni.

Bagaimanapun, Shamsuddin dibebaskan mahkamah atas tuduhan bersubahat dengan Khir awal bulan ini.

Dalam pada itu, Shuhaimi menyuarakan kesangsiannya sekiranya Khir akan disabitkan bersalah, berdasarkan kes-kes rasuah sebelum ini yang ditutup dengan pelbagai alasan.

“Kes ini kemungkinan besar akhirnya ditutup seperti contoh kes melibatkan Tan Sri Eric Chia, Datuk Seri Rafidah Aziz, Tan Sri Kasitah Gaddam dan ramai lagi terlepas dengan alasan mengaitkan kesilapan teknikal dan sebagainya.

“Sebab itu kita menyarankan supaya memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk diletakkan fungsinya dan diberi tanggungjawab kepada Parlimen,” kata beliau.

Sementara itu, beliau menyeru rakyat supaya bijak memilih kerajaan yang menolak amalan rasuah.

“Rakyat boleh menilai dengan melihat apa yang berlaku dan selagi kes-kes rasuah ditutup dan disembunyikan, maka lagi bertambah keraguan rakyat kepada pemerintah.

“Oleh itu, rakyat perlu bangkit sokong usaha Pakatan Rakyat untuk menangani gejala rasuah dan penyelewengan oleh pemimpin Umno,” katanya.


Sumber: keadilandaily.com

No comments: