Friday, June 24, 2011

Bersih: Ketua AMK Negeri Sembilan dipanggil beri keterangan

(Oleh: Norutul Ilham)

NEGERI SEMBILAN: Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Negeri Sembilan, Nazree Yunus hari ini dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung kandungan ceramahnya di Sepang yang menyentuh isu perhimpunan Bersih 2.0.

Selain beliau, beberapa lagi pimpinan Pakatan Rakyat turut dipanggil iaitu Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei, Adun Pasir Panjang, Datuk Seri Nizar Jamaluddin dan Ketua Cabang KEAdilan Sepang, Borhan Aman Shah.

Menurut Nazree, beliau menerima panggilan itu awal pagi tadi oleh seorang anggota polis yang memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintendan (ASP), Hairul.

Pegawai polis berkenaan meminta beliau datang jam 3 petang untuk diambil keterangan di Balai Polis Senawang, dipercayai berhubung ceramah yang dianjurkan di Kampung Sungai Merab, Sepang pada 22 Jun lalu.

Katanya, beliau percaya tindakan itu ada kaitan dengan amaran polis kepada pengerusi majlis supaya tidak menyentuh langsung mengenai perhimpunan 9 Julai ini.

“ASP Hairul telefon saya pagi tadi untuk meminta saya datang memberi keterangan berhubung ceramah di Sepang, pada 22 Jun lalu.

“Saya khuatir ianya ada kaitan dengan ceramah pada malam itu yang banyak menyentuh mengenai Bersih,” kata Nazree ketika dihubungi Keadilandaily.

“Pada malam tersebut, polis sendiri ada memberi amaran kepada pengerusi majlis supaya tidak sebut pasal Bersih,” katanya.

Sementara itu, Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei ketika dihubungi berkata, polis menghubungi beliau pagi semalam untuk memberi keterangan.

Namun katanya, disebabkan kesibukan kerana program KEADILAN, beliau meminta pihak polis supaya datang ke pejabatnya di Kota Kemuning, Rabu depan untuk mengambil keterangan.

Sebelum ini dalam majlis ceramah yang sama, seorang ahli AMK, Razali Abd Ghafar ditahan polis kerana menjual T-shirt Bersih. Beliau dibawa oleh dua orang polis ke Balai Polis Abu Bakar Baginda, namun dilepaskan tidak berapa lama kemudian.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=15887

No comments: