Thursday, December 18, 2008

Balkis Akan Disiasat
Jimadie Shah Othman (eksklusif )

Satu siasatan awam akan diadakan terhadap sumbangan kepada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Selangor (Balkis) yang disalurkan oleh enam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negerisewaktu pemerintahan Barisan Nasional.

Siasatan awal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertang
gungjawaban dan Ketelusan (Selcat), Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mendapati ada "kes-kes yang memerlukan siasatan lanjut".

Anggota Selcat, Haniza Mohd Talha berkata siasatan awal jawatankuasa itu mendapati terdapat sumbangan wang yang besar kepada badan itu setiap bulan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan berkata, nilai transaksinya ada yang mencecah sehingga RM1 juta setahun sejak penubuhan Balkis pada 1985.

Beliau bagaimanapun enggan meny
erahkan butiran syarikat dan jumlah sumbangan tersebut.


Isu Balkis mencetuskan kontroversi apabila wang milik badan itu, dilapor dipindahkan ke satu akaun lain sebaik sahaja negeri itu jatuh ke tangan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum 8 Mac lepas.

Yang dipertuanya Zaharah Kechik, yang juga isteri bekas menteri besar Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo , dilaporkan memanggil mesyuarat tergempar Balkis pada 11 Mac untuk membubarkannya dan menutup akaun sehari kemudian.

Wang itu, dilaporkan berjumlah RM9.9 juta, telah disalurkan ke sebuah akaun lain sebelum diserahkan kepada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (Bakti), sebuah gabungan badan-badan amal isteri wakil rakyat BN di peringkat negeri-negeri.

'Hadiah mahal'

Ketika dihubungi Malaysiakini, Haniza berkata, terdapat sumbangan yang perlu disiasat seperti peruntukan membeli pakaian, pakaian sukan dan "hadiah yang mahal-mahal".

Sehubungan itu, katanya, beberapa pegawai tertentu daripada kesemua enam GLC di Selangor akan dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan awam tersebut.

Sekarang Selcat dalam proses menyediakan soalan bagi siasatan itu, kata Haniza , yang juga naib ketua Wanita PKR.

Tambahnya, siasatan itu dijangka diadakan awal tahun depan atau paling lewat sebelum pertengahan 2009.

Haniza menjelaskan, siasatan awal memakan kira-kira lapan bulan kerana Selcat tidak dibenarkan melihat akaun Balkis.

"Jadi, kita terpaksa semak (satu persatu) akaun GLC di seluruh Selangor," katanya.

Mengikut undang-undang pendaftaran pertubuhan, tambah Haniza, hanya penjawat badan itu sahaja dibenarkan mengakses akaun Balkis.

Wakil rakyat itu bagaimanapun menegaskan, Selcat tiada sebarang kuasa pendakwaan jika ada pihak yang didapati bersalah.

"Jika cukup bukti, perkara itu akan dikemukakan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis," katanya.

Jawatankuasa khas Selcat ditubuhkan tahun ini bagi memantau selia dan memeriksa kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan urusan pentadbiran kerajaan Selangor.

Speaker DUN Teng Chang Khim bertindak sebagai pengerusi badan itu.

Selain Haniza, jawatankuasa itu dianggotai lima lagi ahli DUN – Mohamed Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Saari Sungib (PAS-Hulu Kelang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua).

Selcat juga sedang menyiasat perbelanjaan boros 56 wakil rakyat BN penggal lalu sebanyak RM26.6 juta dalam tempoh dua bulan awal tahun ini.

No comments: