Selangor Ria 2008
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berpendapat, program Karnival Jualan Selangor Ria 2008 adalah masa terbaik untuk mempertingkatkan produktiviti dan perusahaan dalam sektor pertanian termasuklah penternakan dan perikanan. Menurut beliau, dalam trend ekonomi yang sedang mengalami masalah sekarang ini, pendekatan mempertingkatkan keluaran pertanian dan mengurang import makanan merupakan langkah terbaik untuk mengatasi kemelesetan. “Dalam keadaan ekonomi yang menurun ini, jika kita dapat mempertingkatkan keluaran pertanian kita ini akan mengurangkan import makanan dari luar negara selain dapat meningkatkan pendapatan kaum nelayan dan penternak di Selangor sebagai langkah untuk mengatasi jangkaan kemelesetan ekonomi. “Usaha yang dilakukan hari ini adalah satu perkara baik kerana dengan menggabungkan jabatan-jabatan berkaitan seperti FAMA, Pertubuhan Peladang serta persatuan nelayan di mana mereka bersama-sama menyertai program ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada satu sidang media selepas majlis perasmian Jualan Selangor Ria di Tapak Letak Kereta Stadium Seksyen 13 di sini semalam Kata Abdul Khalid, karnival ini juga membuka peluang kepada golongan petani dan penternak menjana pendapatan lebih kerana mereka mampu memasarkan produk-produk mereka dengan lebih meluas. “Inilah adalah peluang kepada masyarakat petani bagi mempertingkatkan penglibatan pertanian dalam ekonomi di negeri Selangor dan Malaysia amnya," katanya. “Program ini juga adalah untuk memperkenalkan dan memasarkan produk-produk serta perkhidmatan masyarakat petani, peladang, penternak serta nelayan kepada pengguna," kata beliau.
Kata beliau lagi, program ini juga dilaksanakan bagi menarik minat golongan belia bagi menceburi dunia pertanian dan penternakan di mana mereka berminat sekiranya mengetahui hasil yang diperoleh dari kerjaya di bidang tersebut yang dulunya dianggap sebagai pilihan kerja terakhir. Selain itu, beliau juga berharap para pengusaha perlu menggiatkan lagi tambah nilai pasaran, sebagai contoh mempelbagaikan produk dari tanaman pisang dan tahu bagaimana dan di mana untuk dipasarkan. “Jika mereka bijak menguasai bidang ini, aliran mata wang kita ke luar negara akan berkurangan dan ini akan mengukuhkan ekonomi negara kita," katanya.
Abdul Khalid juga berpendapat, para nelayan, penternak dan peladang bukan sekadar petani biasa tetapi mereka merupakan usahawan dalam bidang pertanian. Majlis perasmian tersebut turut dihadiri YB Shuhaimi Shafiei selaku Pembantu Exco Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor.
No comments:
Post a Comment