Friday, December 12, 2008

Program Selangor Ria Mulai 13 Disember


SHAH ALAM 13 November – Setengah juta pengunjung dijangka membanjiri Program Selangor Ria 2008 yang sarat dengan pelbagai program menarik bulan depan.


Program anjuran kerajaan negeri itu bersempena Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Jualan Kembali Ke Sekolah.

Ia bakal berlangsung di Tapak Letak Kereta, Stadium Shah Alam.

Program yang akan bermula pada 13 hingga 21 Disember 2008 bakal dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sebanyak 300 gerai akan dibuka sepanjang sembilan hari program berlangsung.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Yaakob Sapari berkata program itu diadakan dengan tujuan menyediakan satu ‘showcase’ jualan produk yang dikeluarkan dan dipasarkan terutama di dalam Selangor dan ia meliputi keseluruhan jenis produk bermula daripada produk segar hasil pertanian, produk industri kecil dan sederhana sehinggalah program-progrm meningkatkan ilmu keusahawanan seperti Seminar Produk Halal.

Menurutnya, produk yang dijual juga pada harga yang lebih rendah dari pasaran semasa di mana para peniaga dikehendaki meletakkan pada harga ladang atau harga kilang.

Tambahnya lagi, boleh dikatakan semua produk yang ada di Selangor boleh diperolehi di situ bermula dari produk pertanian sehinggalah ke produk pembuatan seperti makanan,” katanya dalam sidang media, di sini petang tadi.

Selain promosi dan jualan produk, program tersebut turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti kesenian dan kebudayaan di samping persembahan konsert-konsert terpilih.

Tambah beliau kerajaan negeri mensasarkan jualan sebanyak RM5 juta bagi tahun ini berbanding RM16.1 juta tahun lalu.

“Pada tahun ini sasaran kita hanya tertumpu pada jualan tunai berikutan tiada pameran jualan hartanah, kenderaan dan pelancongan selain dari jumlah gerai dikurangkan,”katanya. – MURIZA ABDUL HAMID

No comments: