Loading...

Saturday, September 18, 2010

Kenyataan Media bakal Timbalan Presiden Keadilan.

http://lh6.ggpht.com/_3L7O4_DllP4/SpL5EnUZlVI/AAAAAAAACaM/uz_pGR3dhw8/s800/DSC00717.JPG

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah mengorak langkah memberi takrif baru demokrasi dalam usia yang begitu muda di persada politik negara.

Pemilihan Kepimpinan Parti Keadilan Rakyat 2010 merupakan usaha pemerkasaan demokrasi dalam sejarah politik Malaysia melalui pemilihan langsung yang digalas oleh anggota-anggota parti dan sekaligus menjadikan KEADILAN sebuah parti yang paling demokratik di Malaysia.

Namun pembaharuan ini juga membuka cabaran-cabaran baru yang perlu dihadapi dengan bijaksana dan bertanggungjawab.

Selaku anggota muda parti yang jatuh dan bangun bersama perjuangan lebih sedekad yang lalu, dan menjunjung semangat berpasukan di dalam parti, saya mengambil maklum pengumuman Ketua Umum untuk tidak menerima pencalonan bagi jawatan parti untuk menumpukan tenaga beliau bagi memantapkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mengulangi ikrar sokongan padu kepada kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum dan Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Ismail selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.

Saya juga menghayati kenyataan Dr. Syed Husin Ali yang mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan jawatan Timbalan Presiden.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih serta rasa hormat saya kepada Dr. Syed Husin Ali di atas sumbangan dan perjuangan beliau yang berterusan dalam mempertahankan prinsip keadilan dan hak rakyat.

Dr. Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini.

Teras prinsip perjuangan beliau yang menggariskan kriteria contoh pemimpin parti seperti kesetiaan kepada perjuangan, patuh pada disiplin parti, tuntas menentang rasuah serta menegakkan nilai-nilai moral yang tinggi seharusnya menjadi pegangan seluruh anggota parti.

Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan Dr. Syed Husin Ali; saya dengan penuh rasa tawadhu’ dan rendah hati ingin menawarkan khidmat saya sebagai Timbalan Presiden.

Saya bersama rakan-rakan pimpinan dan anggota-anggota parti akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi.

Saya turut berazam untuk memastikan Pemilihan Kepimpinan 2010 berlangsung dalam suasana sihat dan semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

Bersempena dengan Sambutan Hari Malaysia, saya berikrar untuk bersama-sama dengan anggota-anggota parti dan rakyat di Sabah dan Sarawak untuk menjana perubahan dalam Pilihanraya Umum Ke 13 demi kesejahteraan rakyat selaras dengan Permahsyuran Persekutuan Malaysia 47 tahun yang lalu, yang menjanjikan keadilan serta pembelaan maruah dan harga diri setiap warganegara tidak kira kaum mahupun agama.

MOHAMED AZMIN ALI

No comments: