Tuesday, September 28, 2010

MB Rancang Pelan Tiga Tahun Selangor

PETALING JAYA 28 SEPT: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengajak rakyat untuk bersama-sama dengan kerajaan Pakatan Rakyat meneraju masa depan dengan memberi tumpuan keatas pelan yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Khalid berkata, beliau akan mengumumkan Pelan Tiga Tahun Selangor yang sedang dirangka oleh Pakatan Rakyat bagi meneruskan agenda pentadbiran di negeri itu dalam tempoh terdekat.

Dalam teks ucapannya, Khalid menekankan kerajaan Pakatan Rakyat tidak mengambil ringan aspek kebertanggungjawaban awam, pentadbiran, bandar mampan dan pendekatan khusus kepada rakyat dalam melaksanakan dasar perubahan.

"Walaupun kita (Pakatan Rakyat) tidak mengawal polisi ekonomi negara namun kita tetap berusaha memperbaiki kehidupan rakyat dengan melancarkan program mikro-kredit yang lebih menguntungkan rakyat.

" Ini termasuk dana yang disumbangkan kepada Sekolah Agama Rakyat, guru-guru Kafa, sekolah Tamil dan Cina yang belum pernah dilakukan oleh kerajaan terdahulu," kata Khalid pada sidang media selepas melancarkan buku "The Road to Reform: Pakatan Rakyat in Selangor" di Petaling Jaya, malam tadi.

Khalid turut menyeru agar kerajaan Umno-Barisan Nasional lebih matang mengambil kira pandangan rakyat.

Beliau juga turut mengulas penangkapan kartunis Zulkifly Anwar Ul-Haque atau Zunar baru-baru ini mencerminkan corak diktator yang diamalkan kerajaan Umno-BN.

Tambah beliau, pembaharuan dasar kerajaan Pakatan Rakyat adalah bagi mengubah pola pemikiran masyarakat yang telah dikongkong oleh kerajaan terdahulu kepada konsep ketelusan dan keterbukaan.

"Anjakan pradigma tidak boleh berlaku dalam sekelip mata namun saya yakin dengan pendekatan baru kerajaan Pakatan, rakyat dapat memahami falsafah baru yang cuba diterapkan disebalik polisi dan program yang dilaksanakan.

"Tetapi saya menganggap sebagai kemenangan sekiranya berjaya meyakinkan penjawat awam dengan nilai pengaturcaraan berpusat yang dilaksanakan kerajaan Pakatan selama ini."

Antara kandungan yang dimuatkan dalam kandungan buku berkenaan ialah dasar-dasar utama dan pengaturcaraaan yang dilaksanakan oleh kerajaan Pakatan Rakyat termasuk melaksanakan polisi kebajikan masyarakat di bawah program "Merakyatkan Ekonomi Selangor" dan SELCAT.

Turut ditulis mengenai pengalaman dasar perubahan Selangor sejak mengambilalih kerajaan selepas Pilihanraya Mac 2008 selain empat aspek utama teras perubahan - politik, ekonomi, sosial dan budaya.

Khalid menegaskan kerajaan Pakatan Rakyat bukan untuk memenuhi setiap kemahuan rakyat sebaliknya visi transformasi dan pembaharuan kearah kehidupan lebih berkualiti menjadi fokus utama.

(Hadri Yaziz)

Selangorkini

No comments: