Loading...

Sunday, September 12, 2010

Zaid bukan Tun Ghafar kedua

SHAH ALAM - Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim dinasihatkan tidak cepat melatah dan risau berhubung ancaman diterima daripada pihak tertentu yang mendakwa beliau bakal menerima nasib serupa Tun Ghafar Baba jika bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye berkata, Zaid masih berupaya untuk menyumbang kepada parti dan keputusan sama ada kalah atau menang terletak di dalam genggaman anggota parti.

“Menang atau kalah itu soal kedua. Yang kalah, belum tentu kalah dan yang menang belum tentu menang. Beliau tidak perlu risau kerana beliau tidak akan jadi Tun Ghafar ‘kedua’.

“Kita tidak tahu latar belakang ancaman yang diterimanya. Apa yang jelas di sini, nasib diterima Tun Ghafar seperti dikuburkan dari politik kerana ketika itu beliau berada dalam UMNO, sebaliknya, Zaid sekarang berada dalam PKR,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menyokong pendapat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei berkata, ancaman diterima Zaid sinonim dengan senario dunia politik.

“Konsep PKR adalah menyuburkan demokrasi. Jadi, sesiapa merasakan dia berkeyakinan untuk memimpin, kita sentiasa terbuka untuk menerimanya. Realitinya, dalam dunia politik ini, kita tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

“Bagi Zaid sendiri, beliau perlu memiliki ketahanan luar biasa untuk berhadapan dengan ancaman sebegini kerana saya percaya serangan kali ini bukan berpunca daripada anggota dalaman, tetapi individu yang ‘tumpang sekaki’ dan bergabung membuat kacau,” katanya.

Sementara itu, ADUN Kota Anggerik, Yaakob Sapari memberitahu dalam pemilihan PKR ini, sesiapapun berhak mencadangkan atau menerima cadangan dilantik sebagai calon untuk bertanding.

“Ini adalah kali pertama PKR membuka pemilihan terus daripada rakyat dan mereka memiliki kuasa untuk memilih mana-mana ahli akar umbi untuk dijadikan sebagai anggota pimpinan parti.

“Setiap jawatan yang disandang adalah natijah daripada sokongan ahli. Yang penting sekarang ialah, setiap calon perlu meyakinkan ahli bahawa mereka berupaya untuk memimpin,” katanya.

Ditanya mengenai ancaman diterima Zaid dan sokongan daripada ADUN Selangor terhadap Naib Presiden Parti, Mohamed Azmin Ali, beliau memberitahu, ADUN Selangor melihat Azmin berpotensi untuk menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR.

“Sebahagian besar ADUN menganggap dialah calon yang layak untuk memimpin. Jadi, kita mencadangkan nama beliau sebagai calon bagi jawatan itu,” katanya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan, Zaid mengeluarkan kenyataan memberitahu beliau menerima ancaman mengalami nasib sama seperti bekas Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba selepas mengumumkan akan bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Sinar Harian

No comments: