Wednesday, September 8, 2010

Sokongan Azmin tanding timbalan presiden PKR meningkat

TERKINI @ 05:09:27 PM 07-09-2010
September 07, 2010
SHAH ALAM, 7 Sept — Seramai 13 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR di Selangor dan Negeri Sembilan hari ini melahirkan sokongan kepada Naib Presiden Azmin Ali untuk bertanding kerusi timbalan presiden parti itu kali ini.

Semalam Azmin menerima sokongan 20 Ahli Parlimen PKR.

“Kami mewakili majoriti ADUN PKR dari dua negeri ini,” kata ADUN Kota Anggerik Yaacob Sapari.

Kenyataan itu dibuat pada sidang media yang turut dihadiri Dr Xavier Jayakumar (Sri Andalas), Nik Nazmi Nik Ismail (Sri Setia), Amirudin Shari (Batu Caves) dan Suhaimi Shafie (Seri Muda).

Yaacob, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berkata lapan wakil rakyat dari kedua-dua negeri itu tidak dapat hadir sidang media pagi.

PKR mempunyai seramai 18 wakil rakyat di Selangor dan Negeri Sembilan.

Turut memberikan sokongan terhadap Azmin ialah Rodziah Ismail (Batu Tiga), Lee Lim Sin (Kajang), Haniza Talha (Taman Medan) dan Gan Pei Nei (Rawang).

Sementara itu Ahli Parlimen dari Negeri Sembilan pula terdiri daripada Aminudin Haruan (Sikamat), Rashid Latif (Ampangan), Ravi Munusamy (Port Dickson) dan Chai Tong Chai (Lukut).

Yaacob berkata, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak dan ADUN Bukit Antarabangsa merupakan pemimpin senior dalam parti yang mempunyai kelayakan untuk mengambil alih jawatan tersebut daripada Dr Syed Husin Ali yang masih belum membuat keputusan sama ada mahu bertanding atau tidak.

Dalam memberikan sokongan kepada Azmin, Yaacob berkata, mereka tidak akan sesekali menyerang pihak lain termasuk Syed Husin atau Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid yang juga merupakan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR menyelar taktik kotor yang digunakan untuk merosakkan peluang beliau untuk bertanding.

Namun kumpulan yang memberikan sokongan kepada Azmin menafikan mempunyai niat buruk terhadap sesiapa pun.

“Ini adalah sebahagian daripada proses demokrasi untuk menyokong calon,” kata Yaacob.

Sementara itu Jayakumar berkata pencalonan Azmin bukan satu perkara yang luar biasa.

“Kami tidak menghalang sesiapa untuk bertanding,” katanya.

Beliau juga pencalonan bagi jawatan dalam pemilihan parti juga bukan sesuatu yang baru.

Suhaimi menambah bahawa mereka gembira dengan sumbangan Syed Husin selama ini tapi berharap kekuatan Azmin dalam PKR dapat disumbangkan pada pilihan raya akan datang.


Malaysian Insider

No comments: